AKSI skuad remaja negara ketika membelasah Bangladesh dalam perlawanan Kumpulan B Piala Remaja Asia. FOTO AHF
AKSI skuad remaja negara ketika membelasah Bangladesh dalam perlawanan Kumpulan B Piala Remaja Asia. FOTO AHF
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas meraih dua kemenangan berturut-turut skuad hoki remaja negara bakal berdepan cabaran sebenar dengan bertemu pendahulu Kumpulan B Piala Remaja Asia 2023, Korea Selatan.

Menurut pengendali pasukan, Muhamad Amin Rahim beliau menuntut anak buahnya untuk kembali cergas sebelum turun beraksi di Kompleks Sukan Salalah, Oman esok.

Pasukan negara yang berlepas ke Oman dengan berbekal semangat meraih pingat emas di Sukan Sea Kemboja 2023, berjaya meraih dua kemenangan setakat ini, menewaskan Bangladesh 5-1 semalam dan Uzbekistan 8-1, Selasa lalu.

"Kita mempunyai tempoh rehat (hari ini) dan ia akan digunakan untuk pemulihan (kecergasan) dan semua pemain kena lakukan proses ini dengan betul dari segi minum air dan rehat secukupnya," kata Amin.

Korea Selatan dalam pada itu turut mempunyai rekod kemenangan sama selepas menewaskan Oman 8-1 semalam dan Uzbekistan 6-1 pada Rabu untuk mendahului carta kumpulan dengan kelebihan jaringan gol berbanding Malaysia.

"Dari segi analisa video pula, kita akan lihat semula apa yang kita lakukan dengan baik dan sudah tentu melihat kesilapan (bertemu Bangladesh) untuk kita tambahbaik bagi menentang Korea Selatan nanti.

"Korea Selatan menentang Uzbekistan pada perlawanan pertama dan kita boleh lihat ada beberapa kekuatan daripada pukulan sudut penalti, ada yang agak baik dan kita akan berikan tumpuan untuk tidak memberikan pukulan sudut penalti kepada lawan dan cuba bertahan sebaik mungkin.

"Sudah tentu, akan ada perbezaan daripada sudut perancangan taktikal untuk menentang Korea Selatan. Apapun, kita akan gunakan waktu rehat ini dengan betul supaya kita boleh turun dengan segar," kata Amin.

Untuk rekod, kejohanan ini adalah aksi kelayakan ke Hoki Piala Dunia Remaja 2023 dengan tiga lagi slot bagi Benua Asia untuk ke Piala Dunia Remaja Kuala Lumpur, menjadi taruhan selepas Malaysia terlebih dahulu layak beraksi selaku tuan rumah.

Pentas kejohanan di Oman ini akan digunakan sebagai salah satu siri persiapan bagi menghadapi Piala Dunia Remaja Kuala Lumpur 2023 yang dijadual berlangsung pada Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 1:41 PM