DI peringkat Asia, skuad negara kekal di tangga kelima.
DI peringkat Asia, skuad negara kekal di tangga kelima.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki wanita negara mencipta sejarah apabila menduduki ranking ke-19 dunia, iaitu kedudukan paling terbaik diraih oleh pasukan negara.

Menerusi kemaskini terbaru Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), skuad wanita yang sebelum ini menduduki ranking ke-20, meraih 1164.734 mata untuk menduduki tangga ke-19.

Untuk benua Asia, skuad negara bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim kekal muncul pasukan kelima terbaik di belakang India (9), China (10), Jepun (11) dan Korea Selatan (12).

Skuad wanita berjaya memperbaiki ranking sejak beberapa tahun lalu berikutan tumpuan serta sokongan sama rata yang diberikan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kepada mereka sepertimana layanan kepada skuad lelaki negara.

"Tahniah kepada pasukan hoki wanita negara. Ini kali pertama mereka berada di kedudukan ke-19. Persekutuan Hoki Antarabangsa menstruktur semula sistem mata ranking dunia dan menjadikannya begitu menarik," kata Timbalan Presiden MHC, Datuk Dr S Shamala di akaun media sosial miliknya.

Belanda kekal pasukan menduduki ranking pertama dunia dengan 3155.581 mata manakala Argentina di kedudukan kedua (2714.873 mata) dan Australia melengkapkan kedudukan tiga teratas dengan 2623.199 pungutan mata.

Skuad hoki lelaki bimbingan Arul Selvaraj pula kekal di ranking ke-10 dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 6:02 PM