VAN Huizen (tengah) perlu mengatur strategi sesuai dalam Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah.
VAN Huizen (tengah) perlu mengatur strategi sesuai dalam Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah.
Saiful Affendy Sapran


SKUAD hoki negara bakal berdepan tugas sukar pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 11 Mac depan apabila bakal berdepan lima lagi pasukan yang menduduki kelompok 10 terbaik dunia.

Ia bermula dengan gergasi dunia, Australia yang hadir selaku pasukan nombor satu dunia diikuti pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Argentina yang menduduki ranking kedua.

Gergasi Asia yang juga juara Piala Asia di Dhaka, India yang kini menduduki ranking keenam dunia, diikuti England (7) dan Ireland (10) melengkapkan senarai enam pasukan yang bertanding.

Melihat kepada status kelima-lima pasukan itu, jelas sekali barisan Stephen Van Huizen yang menduduki ranking ke-12 dunia perlu bekerja keras untuk mengelak daripada menerima aib pada kejohanan antarabangsa pertama mereka itu.

Bagaimanapun, Pengarah Teknikal MHC, Terry Walsh menganggap kehadiran kesemua pasukan gergasi itu sebagai peluang terbaik untuk Malaysian Tigers mengukur kemampuan sekali gus cuba meraih penamat terbaik.

“Berdasarkan kedudukan ranking enam pasukan yang bersaing, Malaysia pasukan yang berada di kedudukan keenam dan Piala Sultan Azlan Shah 2018 bakal menjadi medan untuk menguji tahap kemampuan skuad kebangsaan.

“Selain itu, ia dilihat bakal menjadi satu cabaran untuk mereka berusaha menamatkan saingan di kedudukan yang lebih baik.

“Kejohanan kali ini menampilkan empat negara bukan Asia mengambil bahagian dan MHC melihat ia sebagai satu persediaan yang baik buat skuad negara menuju ke Sukan Komanwel.

“Ini kerana pemain bakal berdepan dengan aksi yang lebih kompetitif dan perlu untuk mereka meningkatkan mutu permainan pada tahap yang lebih tinggi, bukan setakat di peringkat Asia sahaja,” katanya.

Terry Walsh juga berharap kejohanan itu membantu skuad negara meningkatkan prestasi menjelang saingan cukup penting iaitu Sukan Asia di Indonesia, Ogos depan yang menawarkan tiket automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 kepada pasukan yang memenangi pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 11:52 PM