DARI kiri: Prof Dr Azhar Abd Jamil, Mohd Syazwan Mohd Hanafie, Leffrey Lai, Danny Chew, Rafiq Razali dan Hazman Hassan ketika sidang media pelancaran XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus Semester 1 2019 di The Starling Mall, Damansara Jaya. FOTO Saddam Yusoff
DARI kiri: Prof Dr Azhar Abd Jamil, Mohd Syazwan Mohd Hanafie, Leffrey Lai, Danny Chew, Rafiq Razali dan Hazman Hassan ketika sidang media pelancaran XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus Semester 1 2019 di The Starling Mall, Damansara Jaya. FOTO Saddam Yusoff
Muhammad Saufi Hassan

MENAWARKAN hadiah terkumpul berjumlah RM180,000 menjadi taruhan bagi Kejohanan E-Sukan Kampus (KEK) anjuran Media Prima Digital (MPD) dengan kerjasama XPAX.

Ketua Pegawai Eksekutif MPD Rafiq Razali berkata, inisiatif penganjuran kejohanan KEK ini adalah sebagai satu platform untuk mencungkil bakal memandangkan E-Sukan adalah segmen yang sedang berkembang pesat.

“Selain itu, penganjuran Sukan Sea 2022 kelak akan memperkenalkan beberapa jenis E-Sukan dan ini adalah platform awal kepada golongan pelajar institusi pengajian tinggi untuk mengasah bakat dan mungkin mampu menjadi atlet E-Sukan profesional.

“E-Sukan bukan lagi satu hobi sebaliknya ia mampu untuk menjadi kerjaya memandangkan segmen ini sedang pesat berkembang bukan saja di negara ini tetapi di seluruh dunia,” katanya ketika Sidang Media Pelancaran XPAX KEK di Starling Mall di sini, semalam.

Rafiq berkata, jumlah keseluruhan pelajar institusi pengajian tinggi di negara adalah sejuta orang dan ini adalah satu segmen yang besar untuk dilihat dan menjadi medan baru mencungkil bakat.

Beliau berkata, penganjuran kejohanan ini juga akan memberi platform kepada mereka untuk bergiat lebih serius dalam E-Sukan dan tidak lagi sebagai hobi.

“Menerusi XPAX KEK, kita mempertaruhkan tiga permainan utama yang menjadi kegilaan ramai iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), DOTA 2 dan Pro Evolution Soccer 2019 (PES19).

“Bagi juara MLBB dan DOTA 2, mereka bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 dan bagi juara PES19 sebanyak RM30,000.

“XPAX juga akan memberi biasiswa berjumlah RM50,000 untuk johan keseluruhan kampus. Ini adalah satu tawaran yang hebat dan wajar menjadi rebutan,” katanya.

Format kejohanan adalah setiap pasukan akan bertanding dalam pusingan kelayakan yang akan bermula Februari ini dan 16 pasukan terakhir akan bertanding di setiap zon untuk merebut gelaran juara zon.

Setiap juara zon akan bertanding dalam kejohanan akhir yang akan dilaksanakan di Lembah Klang dan merebut hadiah utama.

Sepanjang kejohanan XPAX KEK ini, terdapat pelbagai pengisian antaranya pendedahan berkaitan E-Sukan dan sesi perkongsian pengalaman serta idea bersama beberapa pemain E-Sukan profesional tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 10:44 AM