Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: "Saya spoil (rosakkan) Liga M (Liga Malaysia), atau empat lima pasukan yang tidak bayar gaji?

Itu pertanyaan ringkas pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada pihak yang selama ini menuduh kelab berpangkalan di selatan tanah air itu merosakkan industri bola sepak negara dengan memborong pemain ternama seterusnya menawarkan gaji terlalu tinggi.

Malah, Tunku Ismail ketika temubual di laman Instagram Hafizal Hamad turut menjelaskan beliau selama ini menjadi tempat berpaut untuk pemain daripada pasukan lain yang berhadapan masalah tunggakan gaji mendapatkan bantuan kewangan pada musim perayaan.

Katanya, tindakan beliau mengambil beberapa pemain ternama dalam Liga M sebenarnya menyelamatkan mereka daripada berterusan berhadapan masalah tunggakan gaji terutama membabitkan beberapa pasukan utama Liga Super.

"Kalau orang lain tak bayar gaji tak jaga kebajikan pemain, tak jaga periuk nasi pemain, macam mana saya pula yang merosakkan Liga M.

"Saya spend (berbelanja) mengikut kemampuan saya dan pasukan lawan saya juga kena berbelanja ikut kemampuan mereka. Pengurusan jika gagal menguruskan itu adalah kegagalan mereka.

"Saya selamatkan pemain yang tak ada gaji. Awak boleh tanya PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia) punya presiden berapa banyak kali kes yang ada tunggakan gaji setiap kali Hari Raya siapa yang beri duit raya kepada mereka.

"Kebanyakan bekas pemain JDT yang minta bantuan atau mana pemain yang saya kenal akan bantu ikut kemampuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 6:50 AM