PICKFORD sekali lagi melakukan kesilapan sehingga menghadiahkan gol kepada pasukan lawan. FOTO
PICKFORD sekali lagi melakukan kesilapan sehingga menghadiahkan gol kepada pasukan lawan. FOTO
AFP

Liverpool: Jordan Pickford sekali lagi dihukum dengan melakukan kesilapan sehingga membolehkan Youri Tielemans menjaringkan gol penyamaan buat Leicester bagi mengikat kedudukan 1-1 dengan Everton awal pagi tadi.

Pickford berada dalam pemantauan sejak tahun lalu kerana kerap kali melakukan kesilapan.

Pengurus Everton, Carlo Ancelotti masih menaruh kepercayaan terhadap Pickford namun kesabaran itu sekali lagi diuji dengan satu lagi kesilapan.

Selepas mendahului pada separuh masa pertama melalui jaringan James Rodriguez, Everton dinafikan kemenangan apabila Pickford gagal menampan kemas rembatan Tielemans di separuh masa kedua di Goodison Park.

"Ini bukan tempat yang sesuai untuk bercakap mengenai perkara itu (kesilapan Pickford). Dia boleh buat lebih baik tapi ia tidak menjadi masalah," kata Ancelotti.

Leicester sekarang ini belum kalah dalam sembilan perlawanan untuk semua kejohanan sejak tumpas di laman sendiri kepada Everton Disember lalu.

Mereka menduduki tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL), dua mata di belakang pendahulu, Manchester City dan dilihat berkemampuan untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik walaupun tanpa penjaring terbanyak, Jamie Vardy yang mengalami kecederaan.

"Kami sepatutnya dapat terus ke depan dan memenangi perlawanan. Walaupun tercicir dua mata namun ia masih lagi bagus buat kami.

"Satu pujian buat pemain kami kerana berjaya memberi tekanan kepada Everton. Kami mempunyai pemain yang bagus dengan mentaliti terbaik dan saya rasa kesemuanya sangat cemerlang dalam perlawanan ini," kata pengurus Leicester, Brendan Rodgers.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 9:11 AM