ZIRKZEE menandatangani kontrak lima tahun bersama Man United. FOTO REUTERS
ZIRKZEE menandatangani kontrak lima tahun bersama Man United. FOTO REUTERS
Reuters

Manchester: Pendatang baharu di Manchester United, Joshua Zirkzee berkata, penyokong kelab itu boleh menjangkakan corak permainan kreatif dan di luar ramalan daripadanya yang menjadikan Ronaldinho serta Zlatan Ibrahimovic sebagai idola.

Penyerang berusia 23 tahun itu mengikat kontrak bersama United pada Ahad lalu selepas menghabiskan musim cemerlang bersama Bologna dalam saingan Serie A apabila menjaringkan 11 gol dan lima bantuan jaringan bagi membantu kelab layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

"Agak kelam kabut sejak beberapa minggu lalu, tetapi satu pengalaman cukup bagus. Saya sangat gembira berada di sini.

"Apa yang jelas, saya tiba pada waktu tepat, berpindah ke Manchester United adalah sesuatu yang sangat positif, saya tidak sabar untuk bermula dan meneruskan apa yang dilakukan pada musim lalu.

"Saya seorang pemain kreatif, bagus dengan bola dan saya sedikit sukar diramal," kata Zirkzee yang mempunyai ketinggian 1.93 meter (m) itu.

Zirkzee berkata, memandangkan kelab dikendali pengurus dari Belanda, Erik ten Hag dan barisan kejurulatihan seperti Ruud van Nistelrooy, ia sedikit sebanyak membantunya menemui keserasian bersama pasukan.

"Manchester United adalah kelab besar yang hebat, tetapi ia hanya satu keistimewaan dan kelebihan tambahan buat saya," katanya.

"Dengan adanya beberapa orang dari Belanda di sekeliling, ia memudahkan saya. Apa yang jelas, saya seorang yang mudah menyesuaikan diri," katanya.

Zirkzee berada dalam senarai skuad Belanda untuk Euro 2024 lalu dengan penampilan pertamanya adalah ketika membantu kemenangan ke atas Turkiye di suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 8:19 AM