KHALID harap permintaannya dipandang serius DBKL. FOTO Aswadi Alias
KHALID harap permintaannya dipandang serius DBKL. FOTO Aswadi Alias
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dipohon agar dapat menyediakan 0.5 peratus (%) daripada pendapatan RM2.38 bilion yang diraih bagi tahun 2024 agar dapat disalurkan kepada pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City).

Saranan itu disuarakan mantan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad pada sidang media hari ini.

Katanya, jika peruntukan itu dapat diberikan sudah tentu KL City dapat bernafas dan tidak akan berdepan isu tunggakan gaji.

Malah ujarnya, dengan bantuan daripada kontraktor yang mendapat projek di Kuala Lumpur turut mampu membawa pasukan ke tahap yang lebih baik berbanding ketika ini.

"Pendapatan DBKL pada 2024 adalah berjumlah RM2.38 bilion berdasarkan bajet dikemukakan menerusi pendapatan diperolehi daripada warga Kuala Lumpur termasuklah projek yang dijalankan di sini.

"Kita lihat RM650 juta untuk perbelanjaan pembangunan dan kalau 0.5% daripada jumlah itu, kita akan dapat RM3.25 juta dan secara keseluruhannya, kita dapat lebih RM15 juta.

"Tetapi setakat ini, kita belum dapat apa-apa selain RM3 juta untuk bayar tunggakan tahun lalu. Dengan jumlah lebih RM15 juta itu, kita boleh tampung semua perbelanjaan dan pembayaran gaji kita, jadi kita tidak akan ada masalah mengenai isu gaji tertunggak dan sebagainya," kata Khalid.

Jelasnya lagi, beliau berharap permintaan ini diambil serius oleh DBKL dan tidak memandangnya sebelah mata.

"0.5% pun sudah cukup bagi kita jadi inilah yang kita harap ada satu perubahan daripada segi kaedah di mana kita tak perlu pergi merayu untuk minta duit.

"Biar ada satu sistem di mana kita tahu mengikut jumlah pendapatan DBKL itu sendiri. Tiada pasukan lain di Kuala Lumpur, jadi tiada sebab mengapa DBKL memandang sepi KLFA dan KL City FC.

"Sebaliknya mereka harus berbangga bersama untuk membangunkan industri bola sepak di Kuala Lumpur," katanya.

Ketika ini, skuad Warga Kota yang muncul juara Piala Malaysia pada 2021 itu sedang berdepan krisis tunggakan gaji, difahamkan naib juara Piala AFC serta Piala FA 2022 dan 2023 itu sangkut sejak awal musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 6:22 PM