AKSI Lerma menanduk masuk gol kedua Colombia. FOTO AFP
AKSI Lerma menanduk masuk gol kedua Colombia. FOTO AFP
Reuters

Houston, Amerika Syarikat: James Rodriguez membantu mencipta kedua-dua jaringan ketika Colombia menewaskan Paraguay 2-1 dalam aksi pertama Kumpulan D Copa America sebentar tadi.

Skuad Nestor Lorenzo mendominasi perlawanan babak pertama dan mendahului pada minit ke-32 di Stadium NRG apabila Daniel Munoz menanduk masuk hantaran James Rodriguez.

Rodriguez selaku kapten sekali lagi bertindak cemerlang apabila sepakan percumanya 10 minit kemudian disudahkan dengan tandukan oleh Jefferson Lerma yang melepasi jangkauan penjaga gol Paraguay Rodrigo Morinigo.

Paraguay merapatkan jurang selepas rehat menerusi penyerang Brighton & Hove Albion Julio Enciso tetapi gagal mencari gol penyamaan susulan pertahanan kental Colombia yang memastikan mereka tidak tewas dalam 24 perlawanan.

"Kami bekerja keras sejak minit pertama. Kami tahu perlawanan ini tidak mudah walaupun kami beraksi dengan baik. Jadi kami tak boleh melakukan kesilapan," kata pemain sayap Colombia Luis Diaz kepada Caracol Gol.

"Kami berjaya mendapatkan dua gol yang memberikan kami pendahuluan dan lebih menyukarkan mereka. Kami tetap tenang dan saya tak ragu kami mampu mara lebih jauh di kejohanan ini."

Kedua-dua pasukan bakal turun ke padang untuk aksi kedua pada Jumaat ini dengan Colombia menentang Costa Rica di Glendale, Arizona dan Paraguay berdepan Brazil di Las Vegas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 8:25 AM