DE Jong memperagakan kemahirannya ketika majlis pengenalan pemain di Nou Camp, awal pagi tadi. — FOTO AFP
DE Jong memperagakan kemahirannya ketika majlis pengenalan pemain di Nou Camp, awal pagi tadi. — FOTO AFP
Reuters

PEMAIN terbaharu Barcelona, Frenkie de Jong disambut oleh 20,000 peminat ketika pemain tengah Belanda itu menjejakkan kaki buat julung kali di Nou Camp pada majlis memperkenalkannya, awal pagi tadi.

De Jong, 22, tiba di Barca enam bulan selepas bersetuju dengan perjanjian bernilai 75 juta euro (RM348 juta) dari Ajax Amsterdam.

Pemain kebangsaan Belanda itu berulang kali mengucup logo di jersi Barcelona ketika berada di padang sekali gus menggembirakan peminat dan memberitahu mereka: “Memakai jersi Barcelona buat kali pertama membuatkan saya berasa amat bangga.”

De Jong memainkan peranan penting membantu Ajax memenangi Liga Belanda dan Piala Belanda musim lalu serta mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara dengan menyingkirkan Real Madrid dan juara Itali, Juventus. Namun mereka tersingkir di tangan Tottenham Hotspur.

DE Jong (kiri) ceria bersama Bartomeu. — FOTO EPA
DE Jong (kiri) ceria bersama Bartomeu. — FOTO EPA

Pemain tengah kreatif itu, yang menandatangani kontrak lima tahun akan mengukuhkan hubungan antara bola sepak Belanda dan Barca yang bermula sejak 1973 dengan kehadiran legenda Johan Cruyff yang mencetus revolusi kepada kelab itu sebagai pemain dan jurulatih.

De Jong berkata, dia menerima tawaran daripada beberapa kelab ternama Eropah namun yakin untuk berpindah ke Barca selepas dikunjungi presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu dan beberapa pengarah kelab.

“Ia sukar kerana banyak kelab menyatakan kesanggupan mereka mengambil saya dan ada ketikanya saya pening memikirkannya. Kemudian satu hari lembaga pengarah datang ke Belanda dalam satu kunjungan mengejut dan mereka meyakinkan saya,” katanya.

“Sering kali ada hubungan hebat antara Barcelona dan Ajax kerana falsafah Cruyff. Barca dan Ajax mahu bermain corak bola sepak yang sama dan ia terlalu istimewa buat saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 1:23 PM