AKSI Josue berebut bola dengan pemain KL. FOTO Bernama
AKSI Josue berebut bola dengan pemain KL. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kuala Lumpur City FC jelas harus diberikan perhatian oleh pasukan Liga Super lain apabila berjaya menundukkan 'pembunuh gergasi' iaitu Penang FC 3-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, malam ini.

Kejayaan itu lebih manis apabila kapten skuad The City Boy Paulo Josue berjaya mencetak nama sebagai penjaring hatrik dengan meledak tiga gol untuk memastikan mata penuh menjadi milik tuan rumah.

Skuad kendalian Bojan Hodak yang peroleh tonik selepas mencatatkan keputusan seri dengan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini tidak mempunyai masalah mengekalkan momentum permainan cemerlang apabila dilihat lebih menguasai perlawanan.

Malah, serangan berbahaya yang diketuai Paulo akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit 35 menerusi sepakan percuma.

Separuh masa kedua pula tidak banyak berubah apabila dilihat kedua-dua pasukan cuba mengatur serangan berbahaya untuk memburu gol.

Namun, kesilapan pemain pertahanan Penang FC Rafael Vitor yang menampan bola menggunakan tangan akhirnya dihukum apabila pasukan tuan rumah diberikan sepakan penalti sebelum disudahi Paulo pada minit 52.

Paulo terus menjadi duri dalam daging kepada Penang FC apabila bertindak cemerlang menyempurnakan hatrik untuk gol ketiga Kuala Lumpur City FC pada minit 88.

Gol saguhati skuad kendalian Trucha Tomas disumbangkan oleh Danial Ashraf sekali gus menyaksikan kedudukan kekal 3-1 hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 12:36 AM