Insiden balingan batu dan suar ketika perlawanan membabitkan KL City menentang JDT di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Insiden balingan batu dan suar ketika perlawanan membabitkan KL City menentang JDT di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pertembungan membabitkan Kuala Lumpur (KL) City dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam, mencetuskan sedikt ketegangan membabitkan insiden balingan objek.

Menerusi video di saluran YouTube, Fr7 Reborn, sekumpulan individu yang tidak bertanggungjawab didakwa bertindak membaling batu, suar dan mercun ke arah penyokong Harimau Selatan di luar stadium terbabit selepas perlawanan.

Namun, insiden terbabit dapat dikawal apabila marshal keselamatan stadium dan pihak berkuasa bertindak menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab itu daripada terus melarat.

Sebelum itu, JDT yang juga juara bertahan Liga Super 10 kali berturut-turut meraih kemenangan besar dalam perlawanan itu apabila membenam KL City 5-1.

Fernando Forestieri dan Juan Muniz menyumbang dua gol buat Harimau Selatan manakala satu lagi gol skuad kendalian Hector Bidoglio diledak pemain gantian, Syahmi Safari. Skuad City Boys yang dibimbing Miroslav Kuljanac memperoleh jaringan tunggal menerusi sepakan penalti kapten pasukan, Paulo Josue pada masa kecederaan babak pertama.

Ia bukan kali pertama insiden seumpaman itu berlaku selepas aksi KL City dan JDT yang mana bas penyokong JDT pernah dilaporkan dibaling batu dalam aksi Liga Super musim lalu.

Insiden yang berlaku pada Mac tahu lalu itu menyaksikan bas yang membawa penyokong JDT dibaling batu hingga menyebabkan kerosakan pada cermin bas terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 1:34 PM