PASUKAN Veteran Bolasepak Malaysia (jersi putih) menentang pasukan Pilihan Artis Malaysia (jersi hijau) pada perlawanan khas bagi mengutip dana untuk Khalid Ali, malam tadi.
PASUKAN Veteran Bolasepak Malaysia (jersi putih) menentang pasukan Pilihan Artis Malaysia (jersi hijau) pada perlawanan khas bagi mengutip dana untuk Khalid Ali, malam tadi.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul!

Itu perumpamaan sedang dilalui legenda bola sepak negara, Khalid Ali yang kini berdepan ujian tidak terduga apabila disahkan menghidap kanser paru-paru.

Lantas bagi meringankan sedikit beban ditanggung, satu perlawanan amal khas buat Khalid dilangsungkan antara pasukan Veteran Bolasepak Melayu Malaysia menentang pasukan Pilihan Artis Malaysia di Shah Alam, malam tadi.

Ramai bekas pemain kebangsaan dan negeri era 1980an dan 1990an menyertai perlawanan amal itu antaranya Datuk Ramlan Askolani, Mubin Mokhtar, Azmil Azali, Raja Azlan Shah, Mohd Zamri Mazleh dan ramai lagi.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed turut serta bagi menghangatkan suasana aksi itu.

Pasukan Pilihan Artis Malaysia pula diperkuatkan dengan kehadiran pelakon seperti Syed Aiman, Hariss Anuar, Ashraf Aley, Danny X Factor dan penyanyi, Black Hanifah.

Pengerusi penganjur, Zamri Mazleh berkata, matlamat utama perlawanan itu adalah bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada Khalid.

"Sebagai rakan yang mengenali Khalid, kami rasa terpanggil membantunya yang kini sedang berdepan ujian akibat kanser paru-paru.

"Alhamdulillah kami dapat kumpulkan ramai rakan seangkatan yang pernah bermain dengannya sewaktu di pasukan Selangor dan kebangsaan dulu.

"Rakan artis menyokong dan kita dapat saksikan ramai kawan bersama Khalid dan mendoakan agar dia tabah menempuh dugaan ini," katanya yang juga Presiden Veteran Bolasepak Melayu Malaysia selepas aksi amal khas itu.

Perlawanan itu berkesudahan pasukan Pilihan Artis Malaysia menang 4-3.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 8:30 PM