STURRIDGE (kanan) kongsi kedudukan penjaring terbanyak Liverpool dengan empat gol. -Foto Reuters
STURRIDGE (kanan) kongsi kedudukan penjaring terbanyak Liverpool dengan empat gol. -Foto Reuters
AFP

LONDON: Situasi seperti ini tidak pernah dibayangkan beberapa bulan lalu - Liverpool ketinggalan satu gol dalam perlawanan besar dan Mohamed Salah diketepikan Juergen Klopp.

Klopp mendapat gol yang dikehendakinya selepas seri 1-1 dengan Chelsea awal pagi Ahad lalu yang mengekalkan rekod tanpa kalah Liverpool sepanjang musim ini, bukan menerusi pengganti Salah, Xherdan Shaqiri tetapi seorang lagi pemain gantian saat akhir, Daniel Sturridge.

Sturridge yang kini berkongsi kedudukan sebagai penjaring terbanyak Liverpool sepanjang musim ini dengan empat gol meskipun berada di belakang Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane dalam senarai keutamaan  Klopp.

Dia masih diberikan perhatian dan jelas sekali memberi motivasi buat Klopp melangkah lebih jauh dalam Liga Juara-Juara musim ini dengan aksi menentang Napoli awal pagi Khamis dan memberikan gelaran pertama Liga Perdana Inggeris selepas 29 tahun menjulang gelaran utama liga bekenaan.

“Syukur dia ada di sini,” kata Klopp selepas jaringan sensasi Sturridge memastikan satu mata dibawa pulang dari Stamford Bridge.

“Pastinya ia tidak bernasib baik buat kedua-duanya jika dia tidak menjaringkannya. Dia berada pada tahap terbaik sejak kami bekerjasama.”

Sturridge  menempuhi tiga tahun yang dipenuhi episod kecederaan sejak Klopp mengambil alih pasukan.

Dipinjamkan ke West Brom pada Januari dalam usaha memantapkan prestasi dan kecergasan, hamstring Sturridge sekali lagi mengalami kecederaan pada pelawanan ketiga dan tidak pernah menjaringkan gol buat Baggies yang kemudiannya tersingkir.

“Dia tidak bernasib baik dengan kecederaan. Begitu keadaannya, melakukan sesuatu pada masa yang tepat amat penting dalam hidup,” kata Klopp.

“Kini masanya sempurna. Kami amat perlukannya dan dia cergas.”

Liverpool kini berdepan minggu penting dalam misi menjuarai Liga Perdana Inggeris dengan kunjungan juara bertahan Manchester City di Anfield hujung minggu ini, namun sebelum itu mereka perlu berdepan Napoli di pentas Eropah.

Selepas beberapa tahun yang mengecewakan, mungkin ini juga satu lagi peluang buat Sturridge membuktikan kehebatannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 7:25 PM