FLICK ditunjukkan jalan keluar selepas kekalahan memalukan kepada Jepun. FOTO AFP
FLICK ditunjukkan jalan keluar selepas kekalahan memalukan kepada Jepun. FOTO AFP
AFP

Berlin: Juara dunia empat kali, Jerman memecat jurulatih Hansi Flick, sembilan bulan sebelum penganjuran Euro 2024 berikutan kekalahan memalukan 1-4 kepada Jepun, umum Persatuan Bolasepak Jerman (DFB).

Pengendali berusia 58 tahun itu menjadi ketua jurulatih Jerman pertama yang dipecat sejak jawatan itu diwujudkan pada 1926.

Pengarah sukan, Rudi Voeller, yang melatih pasukan itu ke perlawanan akhir Piala Dunia 2002 menentang Brazil, akan mengambil alih tugas sementara.

Bos DFB, Bernd Neuendorf berkata pemecatan itu 'tidak dapat dielakkan' selepas pasukan itu mencatat keputusan 'mengecewakan' baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, Neuendorf berkata, berlandaskan kepada kejohanan Eropah di negara sendiri, mereka memerlukan semangat optimis dan keyakinan, dengan mengatakan keputusan itu adalah salah satu paling sukar setakat ini.

Voeller, yang dilaporkan tidak mungkin mengetuai Jerman ke Euro 2024, berkata 'Hansi memberikan segala-galanya untuk mengubah keadaan menjadi lebih baik selepas Qatar'.

Jerman mengalami penyingkiran peringkat kumpulan yang memalukan pada Piala Dunia di negara Teluk itu tahun lalu.

"Perlawanan dengan Jepun menunjukkan kepada kami bahawa kami tidak boleh membuat apa-apa kemajuan lagi dalam situasi ini," kata Voeller.

Pengurus yang tidak terbabit dengan mana-mana pasukan, Julian Nagelsmann, yang sebelum ini menggantikan Flick sebagai bos Bayern Munich, disebut-sebut sebagai pengganti menjelang kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 10:02 AM