MARKUS Anfang. FOTO Reuters
MARKUS Anfang. FOTO Reuters
AFP

Berlin: Seorang jurulatih Jerman digantung daripada aktiviti bola sepak selama setahun dan didenda 20,000 euro (RM94,200) selepas mengakui menggunakan dokumen palsu untuk membuktikan sudah mengambil suntikan vaksin Covid-19 sepenuhnya.

Markus Anfang dipecat kelab divisyen dua, Werder Bremen, November tahun lalu selepas beliau serta penolong jurulatihnya, yang turut dipecat, didapati menggunakan sijil palsu.

Kedua-duanya juga cuba menipu pihak berkuasa kesihatan tempatan untuk mengelak menjalani kuarantin selepas menjadi kontak rapat.

Penolong jurulatih Anfang, Florian Junge turut digantung selama 10 bulan selain didenda 3,000 euro (RM14,100) oleh Persatuan Bolasepak Jerman (DFB).

"Markus Anfang dan Florian Junge melanggar kedudukan mereka sebagai jurulatih melalui tindakan mereka," kata pengerusi mahkamah sukan DFB, Hans E Lorenz.

Menurut kenyataan DFB, Anfang dan Junge masing-masing memperoleh sijil vaksinasi palsu pada musim panas tahun lalu, yang secara salah tertera menyatakan mereka sudah mengambil vaksin sebanyak dua kali.

Mereka menyerahkan sijil palsu itu kepada Werder supaya dari awal musim dan seterusnya mereka tidak perlu lagi menjalani ujian Covid-19 yang dilakukan oleh pihak kelab.

Selain itu, mereka berdua memberikan kad vaksinasi palsu kepada pihak berkuasa kesihatan Bremen untuk mengelak menjalani kuarantin selepas pertahanan Bremen, Marco Friedl diuji positif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 7:24 AM