REAKSI Enrique ketika sidang media hari ini.
REAKSI Enrique ketika sidang media hari ini.
Reuters

Barcelona: Paris St Germain akan layak ke peringkat empat terakhir Liga Juara-Juara (UCL) dengan bangkit daripada kekalahan 2-3 di tangan Barcelona dalam aksi suku akhir pertama, menurut pengurus Luis Enrique hari ini.

Enrique yang membawa kejayaan treble Barca pada 2015 yakin PSG mampu bangkit daripada kekalahan yang dianggap tidak adil seterusnya memburu gelaran UCL pertama mereka.

"Kami sangat yakin kami akan menukar keputusan," kata Luis Enrique dalam sidang media hari ini.

"Aksi pertama menyaksikan persaingan sengit kedua-dua pasukan tetapi keputusan tidak menggambarkan apa yang kami sepatutnya dapat. Keputusan 3-2 bermakna kami masih ada peluang untuk mara."

PSG berehat daripada aksi Ligue 1 hujung minggu lalu sekali gus memberikan kelebihan kepada Enrique yang merancang corak permainan agresif.

"Kami akan menekan mereka daripada minit pertama lagi dan mereka pastinya bermain dengan corak mereka. Apabila mendapat bola, kami akan cuba mencipta seberapa banyak peluang yang boleh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 9:48 PM