AKSI pemain TFC (jersi hijau) ketika berdepan Phnom Penh Crown FC pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam tadi. FOTO Ihsan TFC
AKSI pemain TFC (jersi hijau) ketika berdepan Phnom Penh Crown FC pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam tadi. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) lulus ujian keduanya selepas berjaya menumpaskan juara Liga Perdana Kemboja, Phnom Penh Crown FC 3-1 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam tadi.

Pada aksi pertama menentang skuad kendalian jurulatih kelahiran Ukraine yang juga bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan Bawah 17 Tahun (B-19) 2016, Oleg Starynskyi pada Sabtu lalu juga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain menjelaskan beliau bangga dan berpuas hati dengan persembahan diperagakan anak buahnya walaupun berdepan dengan juara Liga Perdana Kemboja dua musim berturut-turut itu.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan dipamerkan pemain walaupun pada babak pertama kita menurunkan barisan kedua. Mereka tidak gentar sebaliknya mampu beraksi mengikut perancangan yang diatur, inilah yang membuatkan saya begitu bangga.

"Mengenai persembahan Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim, saya sudah mengenalinya sebelum ini dan saya tahu kualiti yang ada padanya, jadi perlawanan pertamanya pada malam ini (malam tadi) dengan jaringan pertama itu bagus buatnya sekali gus mampu meningkatkan lagi keyakinannya.

"Saya harap dia dapat meneruskan aksi terbaiknya bersama pasukan dalam misi memburu sasaran yang ditetapkan pihak pengurusan musim ini," katanya selepas berakhir perlawanan malam tadi.

Dalam perlawanan itu, tiga pemain tempatan, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob, Ridzuan Razali dan pemain baharu, Nik Sharif Haseefy masing-masing meledak jaringan buat skuad Penyu manakala gol saguhati pelawat dijaringkan pemain tengah Sath Rozak, semua gol terhasil pada babak kedua perlawanan.

Sementara itu Starynskyi berkata, walaupun pasukannya tewas tetapi beliau bangga dengan prestasi diperagakan anak buahnya dalam perlawanan kedua itu.

"Kami datang ke sini untuk menguji kemampuan pasukan dan jika boleh kami mahu memenangi perlawanan, tapi cabaran yang sengit ditampilkan pasukan tuan rumah dan ianya positif buat pasukan kami," ujar jurulatih muda berusia 37 tahun itu.

Jumaat ini TFC bakal beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa ketiganya menentang kelab dari Singapura, Balestier Khalsa FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 5:05 PM