RODRYGO meraikan gol kedua pasukannya ketika menentang Bilbao.
RODRYGO meraikan gol kedua pasukannya ketika menentang Bilbao.
Reuters

Madrid: Rodrygo menjaringkan dua gol pada setiap separuh masa perlawanan ketika Real Madrid menewaskan Athletic Bilbao 2-0 di tempat sendiri sekali gus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu LaLiga.

Real meraih 75 mata, lapan mata mengatasi Barcelona di tangga kedua dan 10 mata di depan Girona dengan baki lapan perlawanan.

Keputusan itu menjejaskan impian pasukan di tangga keempat Bilbao untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan kerana mereka hanya satu mata di depan Atletico Madrid yang akan menentang Villarreal awal pagi esok.

Rodrygo memecahkan kebuntuan selepas lapan minit apabila dia yang tidak dikawal tenang melencungkan bola ke penjuru gawang dari luar kotak penalti.

Aurelien Tchouameni hampir menambah gol kedua hasil tandukan kencang sejurus sebelum rehat namun sedikit tersasar.

Pada minit ke-73, Rodrygo yang bergandingan dengan Jude Bellingham di bahagian serangan bijak memperdayakan lawan sebelum melepaskan rembatan leret untuk gol kedua Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 12:43 PM