Hannah pada program Train-the-Trainee for Clinical Directors and Helathy Athletes di Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Hannah pada program Train-the-Trainee for Clinical Directors and Helathy Athletes di Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Rawatan dan pembaikan terhadap permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang rosak tidak membabitkan kos atau peruntukkan bagi menjamin kualiti padang berkenaan menjelang final Piala Malaysia 8 Disember depan.

Ini kerana, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, terdapat tapak semaian berdekatan stadium berkenaan yang mempunyai rumput jenis Zeon Zoysia dan boleh terus digantikan jika permukaan padang rosak.

"Jadi bila ada rawatan dan pembaikan (terhadap permukaan padang) ia tak melibatkan kos kerana tapak semaian itu wujud.

"Sehubungan itu, jangan risau, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan kontraktor sedang melakukan rawatan dan akan memastikan padang sudah tersedia untuk perlawanan kelak," katanya kepada pemberita pada Programme for Train-the-Trainee for Clinical Directors and Helathy Athletes di sini hari ini.

Beliau mengulas isu padang yang rosak akibat konsert kumpulan Coldplay yang diadakan Rabu lalu sehingga membimbangkan peminat bola sepak tanah air.

Isu berkenaan menjadi perhatian khusus dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambar keadaan terkini padang Stadium Nasional di laman Instagram miliknya.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), beberapa bahagian padang berkenaan rosak dan ia dipercayai berlaku selepas konsert Coldplay.

TMJ yang menaja rumput baharu jenis Zeon Zoysia di gelanggang keramat Harimau Malaya itu bagaimanapun hanya berkongsi gambar tanpa sebarang ulasan atau kapsyen.

Situasi itu pasti amat mendukacitakan terutama selepas padang berkenaan mendapat pujian daripada penyokong bola sepak tanah air ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Kyrgyzstan, 16 November lalu.

Konsert Coldplay yang julung kali diadakan di negara ini mendapat sambutan menggalakkan daripada peminatnya merekodkan jumlah kehadiran dianggarkan lebih 75,000 peminat.

Padang Stadium Nasional sebelum ini pernah dikritik hebat selepas ia yang baru dinaik taraf rosak teruk ketika digunakan pada Pestabola Merdeka 2023, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 3:27 PM