ALIYU perkasa pertahanan NSFC. FOTO NSFC
ALIYU perkasa pertahanan NSFC. FOTO NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kehilangan pemain bertubuh sasa dari Peranchis, Herold Goulon di posisi pertahanan, dijangka tidak begitu dirasakan pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) apabila Aliyu Abu Bakar hampir pasti mampu mengisi kekosongan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024-2025.

Aliyu yang berasal dari Nigeria disahkan sebagai pemain import terbaharu menyertai skuad Hobin Jang Hobin sebagai persiapan menghadapi saingan Liga M yang bakal bermula 10 Mei depan.

Pemain berusia 27 tahun yang memiliki ketinggian 1.88 meter itu akan beraksi di posisi pertahanan tengah.

"Aliyu yang berasal dari Nigeria adalah pemain import terbaharu Negeri Sembilan. Pertahanan tengah ini beraksi bersama Khan Tengri FC dalam saingan Liga Perdana Kazakhstan sebelum ini.

"Pencapaian terbaik Aliyu ialah membantu negaranya memenangi Piala Dunia FIFA B-17 pada edisi 2013. Pada musim 2023, Aliyu beraksi 38 perlawanan dalam saingan Liga Premier Kazakhstan bersama Khan Tengri FC. Kami ucapkan selamat datang kepada beliau," kata jurucakap NSFC, hari ini.

Selama dua musim sebelum ini, Negeri Sembilan menyandarkan khidmat pemain import sasa, Herold Goulon yang beraksi di posisi pertahanan tengah tetapi kontrak pemain itu tidak disambung sekali gus memberi ruang kepada Aliyu yang mungkin memenuhi kriteria diperlukan pasukan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 5:42 PM