PENYERANG Atletico, Luis Suarez (kiri) jelas kecewa selepas pasukannya kalah kepada Bilbao. FOTO AFP
PENYERANG Atletico, Luis Suarez (kiri) jelas kecewa selepas pasukannya kalah kepada Bilbao. FOTO AFP
AFP

Madrid: Harapan Atletico Madrid untuk meraih kejuaraan liga sedikit terganggu apabila mereka kalah mengejut 1-2 kepada Athletic Bilbao sekali gus membuka ruang terbaik buat Barcelona dalam perlumbaan tangga teratas La Liga.

Real Madrid yang seri berdepan Real Betis semalam membuka ruang buat Atletico untuk menjarakkan kedudukan namun akhirnya mereka gagal berbuat demikian, dengan kekalahan di San Memes menjadikan La Liga adalah perebutan domestik Eropah yang sukar diramalkan.

Barca sebelum itu berjaya mengalahkan Villarreal dengan jumlah jaringan sama dengan Antoine Griezmann berjaya meledak dua gol.

Sebelum ini Sevilla seakan tidak dipandang namun mereka juga berpeluang untuk muncul juara selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Granada menyaksikan mereka hanya kurang tiga mata di belakang pendahulu dan satu mata dibezakan dengan Real Madrid.

Bagaimanapun, Barcelona sekarang ini adalah calon terbaik untuk muncul juara, apabila pasukan bimbingan Ronald Koeman itu mampu berada di tangga teratas jika memenangi baki kurang satu perlawanan menentang Granada di laman sendiri Jumaat ini.

Malah Atletico juga masih perlu berkunjung ke Camp Nou pada 8 Mei ini dan sehari kemudian Real Madrid menanti kunjungan Sevilla.

"Kami berempat dalam perlumbaan ini dan sekarang ia penuh dengan emosi, siapa yang mempunyai kekuatan mental semakin hampir untuk muncul juara.

"Kami masih lagi percaya bahawa kami bergantung harap kepada diri sendiri," kata pengendali Atletico, Diego Simeone.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 11:54 AM