ODAY (tengah) ketika majlis tandatangan pemain KUFC di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) Kota Bharu, hari ini. FOTO NOR AMALINA ALIAS
ODAY (tengah) ketika majlis tandatangan pemain KUFC di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) Kota Bharu, hari ini. FOTO NOR AMALINA ALIAS
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Pemain kelahiran Palestin, Oday Kharoub sah beraksi bersama Kelantan United Football Club (KUFC), musim ini.

Kehadiran pemain berusia 31 itu diumumkan dalam satu sidang media selepas majlis tandatangan tiga pemain diumumkan KUFC, petang tadi.

Pemain import pertama skuad Kijang Hijau yang mengisi posisi tengah bertahan itu bakal menyarung jersi bernombor 6.

Selain Oday, KUFC turut mengumumkan bekas pemain Kelantan FC, Mohammad Fazrul Amir Md Zaman dan pemain Terengganu FC (TFC), Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali sebagai muka baru pasukan.

Oday berkata, dia turut menerima tawaran daripada kelab Mesir dan Qatar, namun memilih KUFC kerana kerjasama dan sokongan Malaysia terhadap Palestin sangat baik.

"Saya senang berada di Malaysia (Kelantan), kebanyakan rakan (pemain bola) termasuk ketua jurulatih saya ada yang sudah syahid akibat peperangan di Gaza.

"Bila bermain di luar, saya bawa nama Palestin dan mahu tunjukkan pada dunia, kami masih bebas hidup termasuk boleh main bola sepak.

"Saya akan cuba menguasai bahasa Melayu dan Inggeris untuk memudahkan komunikasi bersama rakan sepasukan selain mahu membantu KUFC berada di kelompok terbaik musim 2024," katanya.

Sementara itu, Presiden KUFC, Rozi Muhammad berkata, pemilihan Oday turut menjadi tanda solidariti Malaysia khususnya Kelantan bersama Palestin dan kutipan tiket musim ini turut akan disumbangkan ke negara berkenaan, sekali gus meminta penyokong terus hadir ke stadium.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 8:02 PM