JUDA Bellingham (kanan) dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan. FOTO REUTERS
JUDA Bellingham (kanan) dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan. FOTO REUTERS
AFP

Madrid: Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti berkata pasukannya 'diganggu' pemain tengah, Jude Bellingham dibuang padang selepas wisel penamat kontroversi ketika seri 2-2 di Valencia, awal pagi tadi.

Bellingham dilayangkan kad merah selepas mengemukakan bantahan kerana pengadil, Jesus Gil Manzano meniup wisel penamat ketika dia menanduk bola masuk ke gawang Valencia yang juga sepatutnya gol kemenangan Real pada minit ke-99.

"Saya rasa apa yang baru berlaku tidak pernah berlaku sebelum ini. Ia tidak pernah berlaku kepada saya," kata Ancelotti kepada pemberita.

"Kami menguasai bola dan perlawanan sepatutnya tamat apabila Valencia mendapatkan bola.

"Apa yang mengganggu kami ialah kad merah untuk Bellingham kerana dia tidak mengeluarkan kata-kata kesat. Sudah tentu dia berasa kecewa," tambah Ancelotti.

Keputusan seri kedua Madrid dalam tiga perlawanan liga menyaksikan juara Sepanyol 35 kali itu mempunyai kelebihan tujuh mata di hadapan pasukan di tempat kedua, Girona, yang akan bertandang ke Mallorca, awal pagi esok.

Pada Khamis ini, skuad bimbingan Ancelotti akan menantikan kehadiran RB Leipzig untuk perlawanan kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara dengan Real mempunyai kelebihan agregat 1-0.

Real ketinggalan 0-2 selepas hanya setengah jam apabila penyerang, Hugo Duro dan Roman Yaremchuk meletakkan Valencia di hadapan.

Kebangkitan Real bermula ketika lima minit memasuki masa kecederaan separuh masa pertama apabila Vinicius Junior meledak gol.

Penyerang Brazil itu kemudiannya menyamakan kedudukan ketika berbaki 14 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 9:54 AM