KLOPP akan meninggalkan Liverpool hujung musim ini. FOTO AFP
KLOPP akan meninggalkan Liverpool hujung musim ini. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Penolong pengurus Liverpool, Pep Lijnders berkata adalah mustahil untuk menggantikan Jurgen Klopp dan kelab itu mesti mencari seseorang yang boleh membangunkan legasi mereka sendiri.

Keputusan mengejut Klopp untuk berundur pada penghujung musim ini bermakna pemilik Fenway Sports Group mesti mencari pengganti untuk pengurus yang sudah memenangi setiap piala kecuali Liga Europa, semasa berada di Anfield.

Pengendali dari Jerman itu berpeluang menambah koleksi piala apabila anak buahnya bertemu Chelsea pada aksi final esok, salah satu daripada empat trofi yang berpeluang dimenangi kelab itu musim ini.

Tetapi Lijnders, bersama kakitangan Klopp lain yang juga akan meninggalkan kelab itu berkata, tidak ada gunanya cuba mencari seseorang yang menjadi klon kepada pengendali berusia 56 tahun itu, ketika bekas pemain tengah Liverpool dan bos Bayer Leverkusen, Xabi Alonso dilihat calon utama untuk menggantikan Klopp.

"Tiada siapa boleh menggantikan Jurgen Klopp. Saya rasa masa lalu sudah menunjukkan akan berlaku kesukaran ketika peralihan jurulatih," katanya pada sidang media pra-perlawanan esok.

"Peralihan paling sukar dalam kelab ini ialah ketika era (Bill) Shankly. (Bob) Paisley mengambil alih (pada tahun 1974) dan berbeza sama sekali daripada Shanks.

"Ia menunjukkan, sebagai sebuah kelab, mereka perlu mencari seseorang yang mempunyai sasaran untuk meningkatkan prestasi pasukan," katanya lagi.

Terdapat kebimbangan bahawa pengumuman Klopp pada bulan lalu boleh menjejaskan pasukan yang kini memimpin Liga Perdana apabila berdepan Southampton dalam Piala FA minggu depan dan muncul pasukan pilihan untuk Liga Europa, selepas diundi menentang Sparta Prague pada pusingan 16 terakhir.

Bagaimanapun, mereka sudah mencatat lima kemenangan dalam enam perlawanan sejak itu dan Lijnders berkata, ia bergantung kepada mentaliti dalam bilik persalinan.

"Ramai pemain ketika ini belum memenangi apa-apa gelaran dengan Liverpool, jadi sudah tentu mereka mahu memberikan segala-galanya walaupun pengurus akan meninggalkan pasukan," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 9:19 AM