JURGEN Klopp. FOTO AFP
JURGEN Klopp. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp akan terlepas perlawanan penting Liga Perdana bertemu Chelsea di tempat lawan tengah malam ini kerana kemungkinan positif Covid-19.

Pembantu Klopp, Pep Lijnders akan membimbing pasukan untuk perlawanan di Stamford Bridge itu dalam usaha Liverpool yang kini menduduki tangga ketiga terus memberikan saingan kepada pendahulu liga, Manchester City.

Hasil keputusan ujian Klopp, tiga lagi kakitangannya positif Covid-19 namun Liverpool tidak mahu perlawanan itu ditangguhkan.

"Jurgen Klopp akan terlepas pertemuan Liga Perdana Liverpool dengan Chelsea selepas keputusan ujian Covid-19 yang dikembalikannya disyaki positif.

"Pengurus Reds itu yang dilaporkan mengalami simptom ringan menjelang perlawanan itu, ketika ini sudah mengasingkan dirinya.

"Penolong pengurus, Pep Lijnders akan mengetuai pasukan untuk perlawanan di Stamford Bridge," kata Liverpool dalam satu kenyataan.

Tiada lagi pemain Liverpool didapati positif selepas tiga pemain yang namanya tidak didedahkan oleh Klopp sebelum ini sah positif Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 9:29 AM