Lee Kang In (kanan) berkunjung ke London untuk memohon maaf kepada Son Heung Min secara peribadi. – Foto Instagram Son HeungMin
Lee Kang In (kanan) berkunjung ke London untuk memohon maaf kepada Son Heung Min secara peribadi. – Foto Instagram Son HeungMin
AFP

Seoul: Air dicincang tidak akann putus apabila tonggak Korea Selatan Son Heung Min memohon maaf kerana pembabitannya dalam pertelagahan dengan rakan sepasukan Korea Selatan, Lee Kang In pada Piala Asia dan menggesa peminat supaya memaafkan pemain Paris Saint-Germain itu.

Korea Selatan tumpas 2-0 di tangan Jordan pada kejohanan itu awal bulan ini dan kemudian terdedah cerita kapten Heung Min terseliuh jari dalam pertengkaran dengan Kang In menjelang aksi separuh akhir.

Kedua-dua pemain mengeluarkan kenyataan di media sosial hari ini, dengan pemain Tottenham, Heung Min menghantar gambar kedua-duanya bersama, tersenyum dan memeluk bahu masing-masing.

Kang In, pemain tengah menyerang berusia 23 tahun, yang dipersalahkan peminat kerana pergaduhan itu dan diketepikan pengiklan, berkata dia berkunjung ke London untuk memohon maaf kepada Heung Min secara peribadi.

Mengulas mengenai kontroversi itu secara terbuka buat kali pertama, Heung Min menulis dalam satu kenyataan di Instagram: "Saya benar-benar minta maaf kerana menimbulkan masalah dan akan bekerja lebih keras untuk membantu pasukan kebangsaan."

Insiden pada Piala Asia itu dilaporkan berlaku selepas sesetengah pemain muda dalam skuad kebangsaan termasuk bintang sedang meningkat Kang In, tergesa-gesa menghabiskan makanan jadi mereka boleh bermain pingpong.

Ia menyebabkan Heung Min dan sesetengah pemain lebih berusia marah kerana sesi makan malam menjelang perlawanan besar secara tradisinya dilihat sebagai ruang untuk lebih rapat.

Ketika ketegangan semakin memuncak, Kang In cuba menumbuk Heung Min, lapor media tempatan. Wakil Kang In bagaimanapun menafikan ada kejadian menumbuk.

Pergaduhan itu dilihat antara faktor pemecatan jurulatih Jurgen Klinsmann minggu lalu selepas 12 bulan memegang jawatannya.

"Saya fikir tindakan saya patut dikecam," tulis Heung Min.

Namun dia menambah: "Saya akan melakukannya sekali lagi buat pasukan jika situasi sama berlaku kerana ia satu daripada tugas kapten."

Kang In menjadi musuh nombor satu peminat sejak butiran kejadian itu didedahkan namun Heung Min berkata ia masanya untuk meneruskan kehidupan dan bermaafan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 2:25 PM