TEN Hag ketika sesi latihan pertama United kelmarin. FOTO Getty
TEN Hag ketika sesi latihan pertama United kelmarin. FOTO Getty
Agensi

London: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag tidak berlengah dalam menguatkuasakan peraturan baharu apabila mencontohi Sir Alex Ferguson yang menetapkan sesi latihan bermula jam 9 pagi ketika pra musim.

Pengurus dari Belanda itu mengendalikan sesi latihan pertama kelmarin dan pemain diarahkan melapor diri di Carrington tepat jam 9 pagi sama seperti dilakukan pengurus legenda, Ferguson.

Ia perubahan ketara berbanding pengurus kekal mereka sebelum ini, Ole Gunnar Solskjaer.

Pengendali dari Norway itu membenarkan pemainnya datang satu jam kemudian seiring dengan pendekatan bertolak ansurnya.

Bagi membantunya melancarkan perubahan itu, Ten Hag mendapat bantuan bekas penolong nombor dua Ferguson, Steve McClaren.

Penolong pengurus Red Devils itu antara yang terawal sampai di pusat latihan pada jam 7.45 pagi manakala Ten Hag tiba 8 pagi.

Ten Hag juga mahu meningkatkan semangat berpasukan United dengan menerapkan faktor harmoni. Antaranya skuad wajib makan bersama dan bersosial selepas sesi latihan.

Ferguson mengamalkan pendekatan sama ketika tempoh 26 tahun di United tetapi amalan itu tidak menjadi keutamaan selepas ketiadaannya.

Ten Hag turut meminta rumput di potong sehingga 15mm bagi melancarkan kawalan bola ketika sesi latihan.

Selain itu, United juga mahu mendapatkan beberapa pemain baharu bagi membantu misi Ten Hag dengan Frenkie de Jong menjadi sasaran utamanya selain Christian Eriksen dan dua pemain Ajax, Lisandro Martinez dan Antony.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 12:01 PM