Rafael Silva import baharu Sir Pahang. -FOTO X
Rafael Silva import baharu Sir Pahang. -FOTO X
Asrol Awang


Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) dikatakan hanya akan mendaftarkan tujuh pemain import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Sumber kelab itu memaklumkan, keputusan itu bersandarkan kepada keperluan semasa seperti yang dipersetujui barisan kejurulatihan skuad Tok Gajah itu.

"Buat masa ini, hanya tujuh pemain import yang akan didaftarkan bagi saingan Liga M musim 2024/2025. Namun, keputusan itu mungkin boleh berubah iaitu bergantung kepada keadaan.

"Biarpun Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan kuota sembilan import dalam pendaftaran Liga M musim 2024/2025, kelab membuat keputusan hanya tujuh pemain import setakat ini.

"Oleh itu kelab mengharapkan biarpun tujuh pemain didaftarkan, keputusan terbaik akan dicapai Sri Pahang pada musim baharu ini," menurut sumber itu.

Musim lalu, skuad Tok Gajah mendaftar lapan pemain import iaitu Sherzod Fayziev dari Uzbekistan, Kevin Ingreso (Filipina), Kpah Sherman (Liberia), Stefano Brundo (Argentina), Lucas Silva (Brazil) dan Michael Glassock (Australia) serta dua pemain Korea Selatan, Lee Jeong Geun dan Lee Ji Yong.

Namun, pada pertengahan musim, Sri Pahang mengumumkan melepaskan dua pemain Korea Selatan itu atas persetujuan bersama.

Pada jendela perpindahan pemain, skuad kendalian itu menyenaraikan dua import baharu, Rafael Silva, 32, dari Brazil dan Kuvondik Ruziev, 28, dari Uzbekistan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 1:37 PM