TEBOHO Mokoena antara tonggak penting Afrika Selatan. FOTO AFP
TEBOHO Mokoena antara tonggak penting Afrika Selatan. FOTO AFP
AFP

Abidjan: Walaupun kebanyakan pasukan di Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) sangat bergantung kepada pemain yang berpangkalan di Eropah, Afrika Selatan menyerlah kerana mempunyai skuad yang hampir keseluruhannya beraksi di liga domestik dengan jurulatih, Hugo Broos banyak bersandar kepada pemain yang beraksi di kelab Mamelodi Sundowns.

Sepuluh anggota skuad Bafana Bafana yang akan menentang Cape Verde pada aksi suku akhir di ibu kota Ivory Coast, Yamoussoukro, esok beraksi bersama kelab Sundowns.

Lapan daripadanya membarisi kesebelasan utama ketika meraih kemenangan 2-0 ke atas Maghribi pada pusingan 16 terakhir, termasuk kapten dan penjaga gol Ronwen Williams, dan pemain tengah, Teboho Mokoena, yang menjaringkan gol kedua.

Satu-satunya negara lain yang hampir menyamai kekuatan Afrika adalah Mesir, namun mereka juga masih mengharapkan kepada bintang sensasi Liverpool, Mohamed Salah.

Ia adalah sesuatu yang memberikan kelebihan kepada jurulatih Afrika Selatan, Broos berbanding ramai rakan sejawatannya, yang menyaksikan kebanyakan pemain banyak beraksi di Eropah dan hanya mempunyai beberapa hari untuk berlatih bersama sebelum bermulanya AFCON.

"Apabila anda melihat mereka beraksi, anda boleh tahu bahawa mereka seperti sudah lama beraksi bersama," kata bekas pemain pertahanan Cameroon, Aurelien Chedjou.

"Mereka mempunyai persefahaman antara satu sama lain dan ia adalah perbezaan yang cukup ketara berbanding pasukan lain," katanya lagi.

Broos yang bakal berusia 72 tahun pada April depan, kini berharap dapat membawa Afrika Selatan mara ke separuh akhir AFCON buat kali pertama sejak mereka menduduki tempat ketiga pada tahun 2000.

Prestasi mereka meningkat dengan ketara berbanding gagal layak beraksi pada edisi sebelum ini, yang menyebabkan Broos dilantik selaku jurulatih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 5:08 PM