DAVID Beckham meluangkan masa bersama pemain bola sepak wanita negara dalam Program Bolasepak Wanita Malaysia (AMGFP) di Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara, awal pagi tadi.
DAVID Beckham meluangkan masa bersama pemain bola sepak wanita negara dalam Program Bolasepak Wanita Malaysia (AMGFP) di Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara, awal pagi tadi.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bekas bintang bola sepak Inggeris David Beckham meluangkan masa bersama pemain bola sepak wanita negara dalam Program Bolasepak Wanita Malaysia (AMGFP) di Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara, awal pagi tadi.

Kelibat bekas pemain Manchester United dan Real Madrid itu sudah pastinya dinantikan penyokong bola sepak tanah air yang tidak sabar mahu melihat bintang terkenal dunia itu secara dekat.

Beckham yang kini sudah mencecah usia 49 tahun turut memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada pemain bola sepak wanita dalam usaha meningkatkan motivasi mereka pada masa akan datang.

Program dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) itu turut mahu memastikan kualiti dan imej bola sepak wanita di negara ini terus meningkat sekali gus mampu memberi saingan sengit di peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM Izham Ismail berkata, program terbabit sememangnya baik dalam usaha meningkatkan lagi semangat pemain bola sepak wanita negara.

"Di Malaysia, bola sepak wanita menghadapi pelbagai cabaran daripada memerangi stigma masyarakat, diskriminasi, kekurangan akses dan mengharungi laluan yang sukar," kata ketua pegawai eksekutif PFAM Izham Ismail, semasa pelancaran program itu.

"Tetapi, ia berjaya berkembang kerana kecekalan pemain wanita kita dan hari ini adalah mengenai mereka. Terima kasih kerana menjadikannya lebih relevan daripada sebelumnya.

"Ia bukan sekadar program holistik untuk memupuk bakat bola sepak wanita muda dan ini adalah platform dan ruang kepada wanita untuk mengembangkan bakat masing-masing," katanya.

Sementara itu, Pengurus Negara Adidas Malaysia Sharmin Photographer berkata, bola sepak wanita di negara ini perlu dilaksanakan program yang lebih sistematik dalam usaha meningkatkan lagi kualiti mereka.

"Kami merasakan sudah tiba masanya untuk melakukan sesuatu untuk wanita Malaysia yang menarik dalam sukan ini demi memajukan lagi kualiti permainan mereka,"katanya.

Selain itu, jadual Beckham pada hari ini boleh dikatakan cukup padat apabila akan membuat penampilan bersama penyokong bola sepak tanah air di pusat membeli belah The Exchange TRX Mall sehingga petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 2:41 PM