BECKHAM melambai ke arah peminatnya di TRX. FOTO AGENSI
BECKHAM melambai ke arah peminatnya di TRX. FOTO AGENSI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Aura bekas bintang bola sepak Inggeris, David Beckham sememangnya sukar dibendung apabila ratusan penyokong bola sepak tanah air menyerbu ikon itu sebaik membuat kemunculan di pusat membeli belah Tun Razak Exchange, TRX, petang tadi.

Walaupun kedatangan bekas pemain berusia 49 tahun itu tidak dihebahkan secara menyeluruh di media sosial, namun penyokong bola sepak tempatan yang mengetahui Beckham akan membuat kemunculan di pusat membeli belah terbabit sanggup menunggunya sejak awal pagi lagi.

Beckham disambut dengan sorakan daripada orang ramai apabila membuat kemunculan pada jam 6 petang tadi selain turut sempat beramah mesra bersama peminatnya di pusat membeli belah itu.

Kehadiran bekas pemain Manchester United dan Real Madrid pada petang itu adalah bagi merasmikan pameran 30 tahun jenama kasut sukan antarabangsa.

Terdahulu Beckham meluangkan masa bersama pemain bola sepak wanita negara dalam Program Bolasepak Wanita Malaysia (AMGFP) di Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara, awal pagi tadi.

Kelibat bekas pemain itu dinantikan penyokong bola sepak tanah air yang tidak sabar mahu melihat bintang terkenal dunia itu secara dekat.

Beckham turut memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada pemain bola sepak wanita dalam usaha meningkatkan motivasi mereka pada masa akan datang.

Program dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) itu turut mahu memastikan kualiti dan imej bola sepak wanita di negara ini terus meningkat sekali gus mampu memberi saingan sengit di peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 8:27 PM