KLINSMANN (kiri) ketika bersalaman dengan jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon selepas tamat perlawanan bertemu Korea Selatan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan. FOTO BERNAMA
KLINSMANN (kiri) ketika bersalaman dengan jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon selepas tamat perlawanan bertemu Korea Selatan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan. FOTO BERNAMA
Reuters

Doha: Piala Asia kini memasuki pusingan 16 terakhir dengan beberapa keputusan mengejutkan di peringkat kumpulan menyebabkan pasukan pilihan benua itu berdepan tugas sukar sekiranya mereka mahu melangkah ke pentas final.

Korea Selatan kendalian Jurgen Klinsmann mungkin mengelak pertembungan pusingan 16 terakhir dengan Jepun tetapi mereka perlu melakukan segala-galanya apabila menentang Arab Saudi di bawah bimbingan Roberto Mancini dengan pemenang perlawanan itu berpotensi berdepan Australia di suku akhir.

Klinsmann hanya mampu tersenyum apabila Malaysia menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-15 masa kecederaan sekali gus menyaksikan Korea Selatan terpaksa berpuas hati menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kedua.

Beliau juga menafikan ia adalah sebahagian daripada rancangan mengelak daripada bertemu Jepun pada pusingan seterusnya.

"Peringkat kalah mati berbeza dengan peringkat kumpulan. Setiap pasukan yang ditemui pasti sukar," kata Klinsmann.

"Jadi tidak kira siapa yang anda temui dalam pusingan 16, jika anda mahu memenangi kejohanan ini, anda perlu mengalahkan semua pasukan. Ia semudah itu.

"Arab Saudi adalah lawan kami yang seterusnya, jadi ia akan menjadi pertempuran sengit, tetapi saya juga fikir tidak ada pasukan yang mudah untuk ditewaskan dalam kejohanan ini," katanya lagi.

Arab Saudi sudah menjamin tempat mereka ke pusingan seterusnya sebelum turun beraksi perlawanan ketika peringkat kumpulan tetapi Mancini gusar dengan prestasi pemainnya yang hanya menjaringkan emapt gol dalam 57 percubaan di peringkat kumpulan.

"Kami mempunyai banyak peluang yang tidak disempurnakan dengan baik, tetapi apa yang penting bagi saya ialah prestasi.

"Moto kami adalah untuk sentiasa bermain dengan baik dan cuba untuk menang," kata Mancini, yang membimbing Itali merangkul kejuaraan Eropah pada 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 10:53 AM