GOL kedua Arab Saudi yang mencetuskan kontroversi. -FOTO AFP
GOL kedua Arab Saudi yang mencetuskan kontroversi. -FOTO AFP
AFP

Doha: Pasukan Arab Saudi pimpinan Roberto Mancini bangkit untuk menewaskan Oman 2-1 pada detik akhir di Piala Asia awal pagi tadi tetapi hanya selepas wujud beberapa kekeliruan yang tercetus sebab VAR.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan F, Thailand menewaskan Kyrgyzstan 2-0 dengan Supachai Chaided menjaringkan kedua-dua gol itu.

Arab Saudi yang di inspirasi dengan kejayaan mereka menewaskan Argentina dalam aksi peringkat kumpulan di Piala Dunia 2022 di Qatar menjadi salah satu pasukan pilihan untuk memenangi kejohanan serantau itu.

Mereka memburu kejuaraan Piala Asia keempat selepas membelanjakan wang yang banyak apabila memikat pemain seperti bintang seperti Neymar dan Cristiano Ronaldo ke liga domestik.

Mereka turut akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.

Aksi pembukaan mereka di Piala Asia bermula dengan teruk apabila mereka dihukum dengan sepakan penalti.

Ketika kedudukan terikat 1-1, Ali Al-Bulayhi menanduk masuk bola enam minit dalam masa kecederaan dan penjaga garisan mengangkat bendera ofsaid, namun VAR mengesahkan jaringan buat skuad kendalian Mancini.

Oman membuka jaringan pada minit ke-14 menerusi sepakan penalti Salaah Al-Yahyaei selepas Hassan Al-Tambakti menjatuhkan Muhsen Al-Ghassani.

Skuad kendalian Mancini gagal menembusi benteng Oman sepanjang babak pertama tetapi situasi mula berubah di babak kedua.

Abdulrahman Ghareeb menggelecek empat pertahanan Oman sebelum menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-78.

"Babak kedua lebih baik berbanding babak pertama, kami mencipta banyak peluang, lebih menguasai permainan. Jika menguasai permainan, anda berpeluang menjaringkan gol.

"Oman bertahan dengan baik. Pada awalnya kami buntu tetapi kemudian kami mempunyai peluang dan menjaringkan gol. Akhirnya gol kedua berjaya ditemui, sepatutnya lebih awal," kata Mancini.

Pengendali Oman, Branko Ivankovic akur dengan kekalahan pasukannya di tangan Arab Saudi yang beraksi lebih baik.

"Arab Saudi berhak menang. Ghareeb pemain yang luar biasa. Kami mahu menjaringkan gol kedua untuk pemain-pemain rasa lebih selesa, tetapi di akhir-akhir permainan, kami tidak mempunyai pilihan," kata Ivankovic.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 11:27 AM