NUNEZ (kanan) meraikan kejayaan meraikan gol buat Liverpool. -FOTO AFP
NUNEZ (kanan) meraikan kejayaan meraikan gol buat Liverpool. -FOTO AFP
AFP

Bournemouth, United Kingdom: Liverpool melupakan ketiadaan Mohamed Salah untuk mendahului lima mata di puncak Liga Perdana apabila Diogo Jota dan Darwin Nunez masing-masing meledak dua gol ketika mereka melakar kemenangan 4-0 di Bournemouth awal pagi tadi.

Keupayaan The Reds memburu kejuaraan liga diuji apabila pemain bintang mereka beraksi bersama Mesir di Piala Negara-Negara Afrika.

Tetapi Jota dan Nunez mempamerkan aksi luar biasa untuk memastikan kemenangan penting mengatasi salah satu pasukan terbaik dalam Liga Perdana.

Bournemouth hanya tewas sekali dalam sembilan perlawanan sebelum ini untuk keluar dengan selesa dari zon penyingkiran.

Bagaimanapun, The Cherries berjaya memberikan cabaran pada babak pertama sebelum anak buah Jurgen Klopp tampil lebih bergaya selepas rehat.

"Sudah jelas kami perlu mengubah sesuatu. Kami melakukannya dan ia bekerja dengan lebih baik," kata Klopp mengenai perubahan dalam persembahan pasukannya antara separuh masa pertama dan kedua.

"Segala-galanya lebih bagus, kami benar-benar menekan mereka dan kami menjaringkan beberapa gol yang cantik. Impak daripada bangku simpanan sekali lagi jadi ia satu petang yang amat menceriakan."

Pelawat dihalang daripada melakukan banyak percubaan pada separuh masa pertama.

Namun perlawanan itu berubah selepas satu detik berkualiti daripada Liverpool untuk memecah kebuntuan pada minit ke-49.

Hantaran pantas Jota menyaksikan Nunez berada dalam situasi terbaik dan pemain Uruguay itu mempamerkan ketenangan yang jarang dilakukan dalam kariernya di Liverpool setakat ini untuk merembat masuk ke penjuru gol.

Pemain gantian Cody Gakpo kemudian mengumpan kepada Jota untuk meledak masuk dekat dengan gol 20 minit sebelum tamat untuk menamatkan cabaran lawan.

Jota lebih bernasib baik dengan gol keduanya ketika pemain Portugal itu mensia-siakan percubaan awalnya susulan hantaran lintang Conor Bradley namun bola itu singgah semula di kakinya sebelum merembat leret dan kencang melepasi Neto.

"Kami mempunyai pemain bertaraf dunia dan apabila kami memilikinya ia mudah," kata Jota.

"Tetapi kami adalah Liverpool jadi apabila kami tidak mempunyainya, kami tetap ada pasukan yang bagus.

"Kami boleh menggantikan mereka dan berkongsi perlawanan antara kami untuk meneruskan cabaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 7:41 AM