REAKSI Salah selepas tercedera ketika menentang Ghana.
REAKSI Salah selepas tercedera ketika menentang Ghana.
AFP

London: Jurgen Klopp berkata dia terkejut dengan kecederaan hamstring dialami bintang Liverpool Mohamed Salah ketika beraksi untuk Mesir di kejohanan Piala Negara-Negara Afrika.

Salah hanya terlepas 10 aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sepanjang enam setengah tahun bersama Liverpool.

Pemain berusia 31 tahun itu diketahui mempunyai tahap kecergasan yang tinggi sekali gus menyebabkan jurulatih Liverpool, Klopp terkejut apabila penyerangnya itu terpaksa dikeluarkan ketika Mesir seri 2-2 dengan Ghana.

Pengendali dari Jerman itu masih belum mengetahui tahap kecederaan Salah dan tempoh dia perlu diketepikan.

"Memang mengejutkan dan Mo sendiri berasakannya. Kami semua tahu Mo jarang terpaksa keluar, jadi ada sesuatu yang merisaukan kami," kata Klopp kepada wartawan hari ini.

"Saya tak mempunyai sebarang maklumat lanjut buat masa ini. Saya bercakap dengannya semalam. Mereka melakukan ujian lanjut dan barulah kami akan tahu kedudukannya."

Ketika Liverpool menjangkakan Salah tidak akan kembali daripada tugasan Piala Negara-Negara Afrika pada awal Februari, kecederaan panjangnya memberikan tamparan hebat kepada pendahulu EPL itu untuk memburu gelaran selain masih beraksi dalam saingan Piala FA, Piala Liga dan Liga Europa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 8:32 PM