NAMIBIA melakar kejutan menewaskan Tunisia. -FOTO Reuters
NAMIBIA melakar kejutan menewaskan Tunisia. -FOTO Reuters
Reuters

Korhogo, Ivory Coast: Pemain sayap Namibia, Deon Hotto menjaringkan gol pada minit ke-88 untuk memberikan mereka kemenangan mengejutkan 1-0 mengatasi Tunisia pada Piala Negara-Negara Afrika, meneruskan rentetan keputusan mengejut yang mendominasi hari pembukaan kejohanan.

Hotto menyelinap masuk dari tiang belakang untuk membawa negara dari selatan Afrika itu yang berada di kedudukan 87 di bawah Tunisia dalam ranking dunia, kemenangan.

Mereka sememangnya wajar meraih kemenangan dengan corak permainan yang ditampilkan apabila banyak mencipta peluang dalam pertemuan pembukaan Kumpulan E di Stadium Amadou Gon Coulibaly.

Namibia tampil buat kali keempat di pusingan akhir itu tidak pernah merasai kemenangan di Piala Negara-Negara sebelum ini, sepatutnya menang dengan margin lebih besar namun dikecewakan oleh keputusan yang teruk.

Tunisia adalah pasukan pilihan dalam kumpulan dipaksa bekerja keras sepanjang permainan dan penjaga gol mereka Bechir Ben Said melakukan beberapa penyelamatan merbahaya bagi menafikan percubaan kapten Namibia, Peter Shalulile.

"Ini adalah pencapaian besar bagi kami, tiada siapa yang memberi kami peluang. Ini kejayaan bagi negara yang benar-benar memerlukan kejayaan," kata jurulatih Namibia, Collin Benjamin.

"Kami bukanlah pasukan yang boleh bercakap besar sebelum perlawanan, kerana semua orang memanggil kami 'underdog'. Kami hanya boleh bercakap di atas padang," tambahnya.

Tunisia pasukan dari utara Afrika itu, adalah pasukan yang berada di ranking ketiga tertinggi Fifa iaitu 28, kelihatan gugup dan tidak bermaya.

Mereka menyertai Ghana sebagai bekas pemenang yang mengalami kejutan tewas perlawanan pembukaan di kejohanan itu manakala Algeria, Cameroon, Mesir dan Nigeria dijangka menang.

"Kami hilang kawalan di bahagian tengah dan mereka menangkap kami dengan rentak dan keagresifan mereka," kata jurulatih Tunisia, Jalel Kadri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 8:36 AM