FAIRUL Nizam bersama pasukan Nyaleh FC dan Malacca Historic dalam aksi pembukaan Piala YB Along di Nyalas, Jasin. FOTO NAZRI ABU BAKAR
FAIRUL Nizam bersama pasukan Nyaleh FC dan Malacca Historic dalam aksi pembukaan Piala YB Along di Nyalas, Jasin. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Enam pasukan berentap dalam Pertandingan Bola Sepak Veteran Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan di padang bola sepak Asahan berakhir lewat petang semalam.

Kejohanan membabitkan pasukan veteran berkenaan disertai pasukan tuan rumah Nyaleh FC selain Jasin FC, Black Tigers, Cheng FC, Arena FM dan Malacca Historic FC.

Keputusan pertandingan menyaksikan pasukan Black Tiger muncul juara selepas menewaskan Jasin FC 1-0 pada perlawanan akhir bagi merebut gelaran juara yang lebih dikenali sebagai Piala YB Along.

Sementara itu, tempat ketiga dan keempat milik pasukan Nyaleh FC dan Arena FM pada kejohanan yang turut disertai ramai bekas pemain negeri yang pernah beraksi di Liga Malaysia.

Juara membawa pulang RM1,000 medal dan piala diikuti naib juara RM700 dan medal serta pasukan tewas separuh akhir masing-masing meraih RM400 dan medal.

Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, beliau kagum melihat persembahan pemain veteran yang masih memiliki kemahiran tinggi dalam sukan berkenaan sekali gus membuka minat kepada bakat baharu untuk mengikuti jejak kecemerlangan mereka.

Katanya, kejohanan juga memperkenalkan padang bola sepak Nyalas dilengkapi dengan rumput sintetik, sekali gus memberi peluang mana-mana pasukan untuk menggunakan kemudahan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 4:37 PM