JOSEPH Kalang belum bersedia gantung but. FOTO Ihsan KCFC
JOSEPH Kalang belum bersedia gantung but. FOTO Ihsan KCFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penamat yang tidak begitu menggembirakan buat pasukannya, Kuching City FC (KCFC) dalam kancah Liga Perdana musim ini tidak sesekali melunturkan semangat pemain berpengalaman, Joseph Kalang Tie untuk terus membantu kelab negeri kelahirannya itu dalam kancah Liga Super musim depan.

Dengan usianya yang bakal menganjak 36 tahun pada tahun depan, bekas pemain tengah kebangsaan itu belum memikirkan lagi untuk gantung but walaupun sedar kudratnya tidak segagah dulu.

Pemain kelahiran Baram, Miri itu berkata, selagi kudratnya ditagih kelab The Cats itu, dia tidak sesekali bersara daripada sukan bola sepak yang diminati sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Sebaliknya pemain berketinggian 1.68 meter yang membantu pasukannya menamatkan saingan Liga Perdana di tempat ketiga musim ini mempunyai misi peribadi yang perlu diselesaikan bersama kelab itu pada aksi Liga Super musim depan walaupun sedar terpaksa bersaing dengan pasukan hebat selain lebih berpengalaman dalam liga utama itu.

"Selagi ada kudrat dan selagi khidmat diperlukan pasukan, selagi itulah saya mahu terus bermain dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) walaupun sedar tenaga tidak segagah dulu.

"Lagipun musim depan adalah tahun kelima saya bersama KCFC, jadi sudah pasti misi peribadi saya ingin menaikkan nama pasukan ini setanding dengan nama besar seperti kelab dalam Liga M.

"Selain itu memandangkan pasukan ini bakal beraksi buat kali pertama dalam saingan Liga Super, matlamat kami adalah ingin membantu pasukan berada dalam kedudukan lebih baik dan bukannya menjadi skuad belasahan.

"Kami juga mahu terus kekal beraksi dalam saingan Liga Super pada musim 2024 walaupun bakal bertembung dengan pasukan yang lebih hebat seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Terengganu FC (TFC) dan Selangor FC," katanya ketika dihubungi.

Berdasarkan rekod, nama pemain yang juga boleh beraksi sebagai penyerang itu melonjak ketika mewakili Terengganu bermula 2008 hingga 2011 sehingga berjaya membantu pasukan itu muncul juara Piala FA pada 2011 selain muncul naib juara Piala Malaysia pada tahun yang sama.

Pada 2012, Joseph menabur bakti di negeri kelahirannya sehingga 2015 sebelum kembali menyarung jersi Terengganu setahun kemudian, pemain itu berhijrah ke Pahang pada 2017 dan Selangor 2018 sebelum beraksi dengan KCFC bermula 2019 hingga musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 9:37 PM