UBAIDULLAH mungkin terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan pada aksi akhir Piala Malaysia Jumaat lalu. FOTO Ihsan TFC
UBAIDULLAH mungkin terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan pada aksi akhir Piala Malaysia Jumaat lalu. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Susulan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil yang rosak teruk ketika aksi final Piala Malaysia antara Terengganu (TFC) menentang Johor Darul Ta`zim (JDT), Jumaat lalu, tonggak pertahanan Terengganu FC (TFC), Muhammad Ubaidullah Samsul Fazili berkemungkinan besar terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan serius.

Pertahanan kiri berusia 20 tahun itu mengalami detik ngeri sepanjang kariernya setakat ini selepas but yang dipakainya terjerlus dalam tanah kerana padang rosak terutama ketika itu padang basah akibat hujan sebelum perlawanan.

Lebih menyedihkan selepas insiden itu, pemain kelahiran Kelantan itu bertembung dengan penjaga gol menyebabkan lututnya juga mengalami kecederaan.

Bagaimanapun pemain meningkat naik skuad Penyu itu masih menunggu keputusan ujian MRI (pengimejan resonans magnetic) terlebih dahulu sebelum disahkan sama ada mengalami ACL (ligamen krusiat anterior).

"Berkenaan kasut terlekat dalam padang itu ia merupakan satu pengalaman yang pahit pernah saya alami sepanjang karier menjadi pemain bola sepak profesional berikutan keadaan padang yang kurang memuaskan ketika itu.

"Insiden kedua dengan penjaga gol kami, saya betul-betul tidak perasan ketika itu apabila kaki terkena kepala Suhaimi Husin, kerana saya fikir semasa itu hanya mahu menyelamatkan bola daripada ancaman pihak lawan selain keadaan lutut kanan saya ketika itu tidak stabil.

"Kini saya masih menanti keputusan MRI sama ada saya terpaksa berehat panjang ataupun sebaliknya berikutan kecederaan yang saya alami ini, namun saya harapkan tidak lama kerana masih ada tugasan bersama pasukan TFC dan skuad kebangsaan," katanya ketika dihubungi.

Ketika ditanya mengenai perasaannya selepas disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan bergandingan dengan Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni, Muhammad Azam Azmi Murad dan Muhamad Safwan Mazlan di barisan pertahanan, bekas pemain skuad Projek FAM-MSN itu akui teruja kerana kali pertama beraksi di pentas final trofi berprestij itu.

"Sebenarnya saya tidak jangka disenaraikan sebagai pemain utama kerana semua pemain pertahanan tengah sudah pulih daripada kecederaan, namun posisi pertahanan kiri masih kosong selepas Muhammad Alif Zakaria belum pulih daripada kecederaan.

"Saya begitu teruja lebih-lebih kali pertama bermain di pentas final piala itu, terima kasih kepada barisan kejurulatihan, namun pada masa sama rasa gementar tetap ada lebih-lebih lagi beraksi di depan lebih 80,000 penyokong," kata pemain yang lebih mesra dipanggil 'Ubai' itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 3:28 PM