KETIADAAN Azam jejaskan bahagian pertahanan TFC.
KETIADAAN Azam jejaskan bahagian pertahanan TFC.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Nada kebimbangan menyelubungi ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner selepas pemain pertahanannya, Muhammad Azam Azmi Murad bakal terlepas baki saingan Liga Super, Piala AFC dan final Piala Malaysia akibat kecederaan.

Jelas pengendali kelahiran Croatia itu, beliau tidak pasti tempoh pertahanan kanan itu terpaksa berehat, namun yang pasti ianya agak lama kerana membabitkan kecederaan pada lutut.

Bagaimanapun, beliau mengharapkan pemain muda berusia 22 tahun itu segera pulih daripada kecederaan bagi membolehkan dia beraksi di pentas final Piala Malaysia pada 8 Disember depan.

Selain Azam Azmi, tiga lagi pemain turut berada dalam senarai kecederaan iaitu Muhammad Alif Zakaria dan Muhammad Safwan Mazlan yang masing-masing mengalami kecederaan pada buku lali serta seorang lagi pertahanan, Mohammad Shahrul Nizam Ros Hasni yang cedera pada betis.

"Sejujurnya saya begitu risau mengenai tahap kecederaan menimpa Azam Azmi, kecederaan lututnya itu bukan baharu tapi sudah lama berlaku.

"Selain dia (Azam) tiga lagi pemain iaitu Alif, Safwan, Shahrul Nizam juga berada dalam senarai kecederaan.Situasi ini sudah pasti begitu membimbangkan kami kerana mereka adalah pemain pertahanan. Sebelum ini pertahanan import, Sardor Kulmatov terpaksa berehat panjang juga disebabkan masalah kecederaan," katanya.

Terdahulu Azam Azmi terpaksa diketepikan ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon kerana mengalami kecederaan lutut sekali gus tidak dapat membantu pasukan negara pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 9:12 PM