ONO (kanan) umumkan persaraan pada perlawanan terakhir Liga J musim ini. FOTO AFP
ONO (kanan) umumkan persaraan pada perlawanan terakhir Liga J musim ini. FOTO AFP
AFP

Sapporo: Pemain sensasi Jepun, Shinji Ono bersara daripada bola sepak pada usia 44 tahun hari ini dengan menamatkan kerjaya selepas menjadi pemain pertama dari negaranya memenangi trofi kelab Eropah.

Ono adalah sebahagian daripada pasukan Feyenoord yang menewaskan Borussia Dortmund pada perlawanan akhir Piala UEFA 2002, ketika empat tahun bersama kelab Belanda itu.

Pemain tengah menyerang itu adalah sebahagian daripada gelombang perintis pemain Jepun yang berpindah ke Eropah pada akhir 1990-an dan awal 2000-an, bersama-sama dengan Hidetoshi Nakata dan Kazuyoshi Miura.

Dia yang digelar 'Genius', Ono membuat penampilan sulung antarabangsanya sebagai pemain berusia 18 tahun dan bermain untuk Jepun pada Piala Dunia 1998 di Perancis dua bulan kemudian.

Dia bermain di tiga Piala Dunia dan meraih 56 caps serta menjaringkan enam gol antarabangsa.

Ono dinobatkan sebagai pemain terbaik Asia pada tahun 2000 dan juga pernah beraksi dengan kelab di Jerman dan Australia, memenangi Liga Perdana A-League bersama Western Sydney Wanderers pada 2013.

Beliau juga memenangi Liga J dan Liga Juara-Juara Asia dengan Urawa Red Diamonds dan Piala Asia 2000 bersama Jepun.

Ono membuat penampilan terakhirnya hari ini untuk Hokkaido Consadole Sapporo dalam kekalahan 0-2 kepada Urawa pada hari terakhir musim Liga J.

Beberapa bekas rakan sepasukannya di Jepun masih bermain dalam usia 40-an dan seterusnya, termasuk penyerang berusia 56 tahun 'King Kazu' Miura.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 8:37 PM