DAVIS meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto Reuters
DAVIS meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto Reuters
Agensi

BELFAST: Pemain tengah Southampton, Steven Davis berjaya meledak gol ke-11 di peringkat antarabangsa bagi membolehkan pasukan bimbingan Michael O’Neill, Ireland Utara menumpaskan Israel 3-0 sekali gus mengubati kekecewaan ketika menentang Bosnia-Herzegovina minggu lalu.

Keputusan perlawanan persahabatan itu tidak begitu penting, namun Ireland Utara sudah tentu berasa gembira dengan menamatkan saingan aksi peringkat antarabangsa dengan kemenangan dan ia bermula apabila ketua pasukan Southampton, Davis membuka tirai jaringan pada minit ke-13.

Turut menarik perhatian rakan sepasukannya, Gavin Whyte apabila pemain berusia 22 tahun itu berjaya menjaringkan gol dalam penampilan sulung antarabangsa, 106 saat selepas dia dimasukkan sebagai pemain gantian.

Stuart Dallas melengkapkan jaringan Ireland Utara yang meraikan kejayaan mereka selepas kalah 1-2 kepada Bosnia-Herzegovina, manakala Israel pula dilihat kurang mengancam di bahagian serangan.

Dua gol terakhir Davis di peringkat antarabangsa hadir ketika menentang San Marino dan Latvia dalam saingan kelayakan Euro 2014.

Paling menarik dua gol jaringannya dilakukan di tempat lawan dan secara purata meledak satu gol bagi setiap 10 perlawanan antarabangsa, manakala ketika di Southampton dia mengumpul jumlah jaringan yang sama namun selepas 190 perlawanan liga.

Bagaimanapun, tempoh beraksi Davis di peringkat antarabangsa dalam dua perlawanan lebih banyak berbanding di Liga Perdana Inggeris musim ini dan penampilannya musim ini hanya pada Piala Liga menentang Brighton.

Davis dijangka mengadakan perbincangan bersama pengurus, Mark Hughes mengenai masa depannya, namun aksi mantapnya bersama skuad kebangsaan akan memeningkan pengendali dari Wales itu menjelang aksi Liga Perdana menentang Seagulls, Isnin depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 10:57 AM