JIKA berjaya bergelar MVP tahun ini, Arif Aiman akan melakarkan hatrik. FOTO Nur Aisyah Mazalan
JIKA berjaya bergelar MVP tahun ini, Arif Aiman akan melakarkan hatrik. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) Arif Aiman Hanapi berpeluang mempertahankan anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) apabila namanya terus tersenarai dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2023 (ABK23).

Hal ini bermakna, jika pemain berasal dari Rompin, Pahang itu berjaya bergelar MVP tahun ini sekali gus menyaksikan dia melakukan hatrik selepas memenanginya pada 2021 dan 2022.

Anugerah itu dijadualkan berlangsung pada hujung Disember depan dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Penjaring Terbanyak Piala MFL dan Pemain Terbaik Piala MFL.

Sebanyak 16 anugerah keseluruhan di ABK23 bakal menjadi rebutan 10 calon yang disenarai pendek oleh badan pengelola liga tempatan berkenaan.

Acara tahunan berprestij bola sepak tempatan itu diadakan bagi memberikan pengiktirafan kepada pencapaian yang diraih pelbagai pihak dalam arena bola sepak tanah air terutamanya kepada pemain dan jurulatih dalam kancah Liga M musim ini.

Musim lalu, ABK22 diadakan secara virtual menyaksikan sebanyak 16 kategori anugerah dipertandingkan membabitkan semua pertandingan iaitu Piala Sultan Ahmad Shah, Liga Super, Piala FA, Liga Perdana dan Piala Malaysia.

Pada tahun ini, MFL memperkenalkan Piala MFL bagi menggantikan Liga Perdana serta mengadakan semula pertandingan Piala Cabaran MFL yang kali terakhir dianjurkan pada edisi kedua 2019.

Malah, MFL berbesar hati apabila dapat kembali menganjurkan acara berprestij ini secara fizikal yang bakal menyaksikan persaingan lebih menarik.

Menerusi kenyataan MFL memaklumkan bahawa sudah pasti tumpuan peminat bola sepak tempatan adalah debaran untuk mengetahui siapakah individu yang bakal dijulang sebagai pemenang selepas mempersembahkan prestasi terbaik sepanjang saingan Liga Malaysia 2023 berlangsung.

"Seramai 398 daripada 782 pemain disenarai pendek berdasarkan penampilan bersama kelab masing-masing sebelum dibawa ke Jawatankuasa Saringan ABK23 bagi menyenaraipendekkan 10 pemain terbaik dalam setiap kategori.

"Pemain dipilih dalam setiap kategori mengikut posisi yang didaftarkan oleh pasukan masing-masing.

"Lapan kategori dengan keputusan undian akan dibuat oleh 14 ketua jurulatih dan 14 ketua pasukan Liga Super, 15 ketua jurulatih dan 15 ketua pasukan Piala MFL serta 29 wakil media," katanya.

Berikut adalah senarai 16 kategori anugerah yang dipertandingkan;

1. Anugerah Fair Play

2. Kasut Emas - Penjaring Terbanyak Piala MFL

3. Kasut Emas - Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super

4. Kasut Emas - Penjaring Terbanyak Liga Super

5. FAN XI

6. Penjaga Gol Terbaik

7. Pertahanan Terbaik

8. Pemain Tengah Terbaik

9. Penyerang Terbaik

10. Pemain Import Terbaik

11. Pemain Muda Terbaik

12. Pemain Terbaik Piala MFL

13. Jurulatih Terbaik

14. Pasukan Terbaik

15. Gol Terbaik Liga Malaysia 2023

16. Pemain Paling Bernilai (MVP)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 5:43 PM