Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengakui bahawa Manchester United lawan yang sukar. -FOTO AFP
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengakui bahawa Manchester United lawan yang sukar. -FOTO AFP
AFP

Manchester: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengakui bahawa Manchester United sentiasa menjadi "lawan yang sukar" dalam usaha mereka menyediakan pasukan terkuat menjelang pertembungan derby esok.

United bangkit meraih kemenangan tipis ke atas Brentford, Sheffield United dan FC Copenhagen dalam tiga perlawanan terakhir mereka selepas tewas enam daripada 10 perlawanan pertama dalam semua pertandingan musim ini.

Menjaringkan gol menjadi masalah dengan penyerang baharu Rasmus Hojlund masih belum menemui jaringan dalam Liga Perdana dan Marcus Rashford dibayangi dengan kejayaannya menjaringkan 30 gol musim lalu.

Bagaimanapun, Guardiola masih berhati-hati dengan kualiti pemain yang dimiliki United.

"United sentiasa - tidak kira pengurus - pemain atau sebagainya, mereka akan sentiasa menjadi lawan yang sukar," katanya.

"Mereka mempunyai semuanya, kualiti pemain, stadium, karektor dan momentum.

"Mereka boleh menjaringkan gol, kami tahu kualiti yang mereka ada. Sentiasa begitu dan akan sentiasa begitu."

City kembali meraih kemenangan dengan menewaskan Brighton 2-1 hujung minggu lalu selepas tewas berturut-turut dalam perlawanan Liga Perdana buat kali pertama sejak 2018.

Anak buah Guardiola kini memburu sejarah untuk menjadi pasukan pertama memenangi empat kejuaraan liga utama Inggeris berturut-turut dan kekal di kedudukan yang baik apabila hanya dua mata di belakang Tottenham.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu, pada Jun, City menewaskan United untuk menjulang Piala FA, melengkapkan piala kedua dari tiga piala yang diraih mereka.

Guardiola mengakui masih kurang mantap tetapi akan melihat sejauh mana pasukannya bertindak balas terhadap cabaran apabila bertandang ke Old Trafford.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 9:34 AM