PENGURUS City, Pep Guardiola banyak kali tewas dalam Liga Juara-Juara untuk tempoh 10-15 minit. - Foto REUTERS
PENGURUS City, Pep Guardiola banyak kali tewas dalam Liga Juara-Juara untuk tempoh 10-15 minit. - Foto REUTERS

MANCHESTER, United Kingdom: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui beliau tidak tahu untuk menerangkan bagaimana pasukannya boleh melepaskan gol beberapa kali yang memberikan risiko besar buat pasukannya.

City mesti mengatasi defisit 3-0 pada aksi pertama apabila menanti Liverpool untuk perlawanan kedua suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini, apabila melepaskan tiga gol dalam 19 minit babak pertama di Anfield, minggu lalu.

Ia masih 10 minit lebih lambat berbanding tiga gol diraih Liverpool pada permulaan babak kedua, ketika menang 4-3 dalam saingan Liga Perdana berdepan City, pada Januari.

Dan Manchester United hanya mengambil masa 16 minit untuk menukar kelebihan 2-0 City pada babak pertama kepada kekalahan 3-2 dan menghalang musuh setempat itu daripada meraih gelaran Liga Perdana, kelmarin.

City masih memiliki jurang 13 mata mengatasi United di persada liga.

Bagaimanapun City perlu membayar harga yang mahal kerana hilang perhatian yang sentiasa berlaku dalam karier Guardiola.

Usahanya dalam Liga Juara-Juara dalam dua musim pertama di Bayern Munich juga musnah hasil tiga gol pantas Real Madrid dan Barcelona pada separuh akhir.

“Saya tewas banyak kali dalam Liga Juara-Juara untuk tempoh 10-15 minit dan saya banyak memikirkannya,” kata Guardiola.

“Di Barcelona (berdepan Bayern pada 2015) 71 minit 0-0, (pada) 90, 3-0. Berlaku banyak kali, mungkin ia salah saya. Saya perlu memikirkannya.”

Sebelum kebangkitan babak kedua United di Etihad, City sepatutnya sudah boleh muncul pemenang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 11:44 AM