AKSI Luiz meraikan jaringan kedua Villa. FOTO Reuters
AKSI Luiz meraikan jaringan kedua Villa. FOTO Reuters
AFP

Birmingham, United Kingdom: Unai Emery menggesa Aston Villa memburu impian mereka musim sini selepas membelasah West Ham 4-1 awal pagi tadi untuk merapatkan jurang dua mata dengan pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Douglas Luiz meledak dua gol manakala Ollie Watkins dan Leon Bailey turut menemui sasaran ketika Villa mencatat kemenangan ke-11 berturut-turut aksi EPL di tempat sendiri.

Villa semakin meningkat dalam tempoh setahun sejak Emery menjadi pengurus dengan hanya Manchester City dan Arsenal meraih lebih banyak mata pada 2023.

Kemenangan membolehkan Villa menduduki tempat kelima dalam carta tetapi mengikuti rapat pendahulu City.

Kapten John McGinn mula bercita-cita layak ke Liga Juara-Juara dan Emery fokus untuk itu dengan sekurang-kurangnya memastikan tiket Eropah buat musim kedua berturut-turut.

"Antara impian kami untuk sekelompok dengan tujuh pasukan teratas dan mencipta impak di Eropah," kata Emery yang skuadnya beraksi di Liga Konferens musim ini.

"Beraksi di Eropah sangat penting dan itu yang kami cuba lakukan. Kami perlu konsisten." "

Luiz antara beberapa pemain yang cemerlang di bawah kendalian jurulatih Sepanyol itu dan meneruskan ketajamannya di Villa Park.

Pemain Brazil itu muncul pemain pertama Villa menjaringkan gol dalam enam aksi EPL di tempat sendiri.

Bagi pengurus West Ham, David Moyes jelas tidak berpuas hati dengan persembahan pemainnya terutama di bahagian pertahanan.

"Saya melihat pemain ini setiap hari dan tahu tahap mereka. Kami perlu beraksi sebaik mungkin untuk bersaing dengan enam pasukan teratas," kata Moyes.

"Mereka pemain yang bagus tetapi seperti anda lihat, jika ini tahap kami pamerkan, anda tidak boleh pergi lebih jauh dan perlukan peningkatan yang drastik."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 7:52 AM