AKSI pemain pasukan Chonburi FC (jersi biru) dan AMD Dream pada perlawanan bawah 13 tahun di kejohanan Piala Supermokh 2023 dekat Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang. FOTO MOHD RAFI MAMAT
AKSI pemain pasukan Chonburi FC (jersi biru) dan AMD Dream pada perlawanan bawah 13 tahun di kejohanan Piala Supermokh 2023 dekat Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pasukan Chonburi FC dari Thailand hanya mampu mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Dream pada saingan bawah 13 tahun Piala Supermokh 2023 di Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Gambang, hari ini.

Dengan keputusan itu, dua pasukan dalam kumpulan A itu layak beraksi di peringkat separuh akhir esok. Johan kumpulan milik AMD Dream yang mengumpul tujuh mata dan naib johan berpihak pada Chonburi FC mendapat empat mata.

Jurulatih Chonburi FC, Sarawut Sutsawang berkata di peringkat kumpulan pasukan Chonburi FC hanya mampu mencatat satu kemenangan, satu seri dan sekali tewas dengan mengumpul empat mata.

Katanya, pasukan Chonburi FC yang bersaing pada kejohanan kali ini dilihat kurang mantap berbanding pasukan yang bertanding sebelum ini, namun saingan tetap dapat diberikan pada tiga perlawanan yang dilalui.

Menurutnya, episod yang kurang memuaskan pada perlawanan peringkat kumpulan akan dilupakan, tumpuan utama kini pada perlawanan separuh akhir berhadapan juara kumpulan B (Lech Poznan FC) pagi esok.

"Saya telah mengingatkan pemain supaya dapat memberi persembahan terbaik sekiranya bercita-cita untuk melangkah ke pentas akhir dan membawa pulang piala kejuaraan. Lupakan rekod sebelum ini, buka buku baharu.

"Saya yakin pasukan Chonburi FC mampu menyerlah pada perlawanan esok walaupun berhadapan Lech Poznan FC yang telah mencatat semua tiga kemenangan diperingkat kumpulan," katanya, di sini.

Sementara itu, jurulatih AMD Dream, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham berkata selepas melakar kejayaan diperingkat kumpulan apabila mencatat dua kemenangan dan satu seri, impian seterusnya selepas ini ialah untuk mencatat kemenangan keatas Evergraande Football School diperingkat separuh akhir.

"Saya meletakan yang tinggi dibahu pemain AMD Dream, dengan prestasi terbaik yang dipamerkan pada tiga perlawanan peringkat kumpulan tidak mustahil kita dapat melangkah ke pentas akhir.

"Kini terpulang pada pemain untuk buktikan kebolehan yang mereka ada, peluang telah terhidang kini terpulang pada pemain untuk lakukan dengan sempurna dan berkesan bagi meraih kejuaraan," katanya.

KEPUTUSAN PERLAWANAN HARI INI

Bawah 12 Tahun

ASIOP Football School 0 NFDP C 2

JDT 4 NFDP D 1

Zhejiang Professional FC 1 NFDP A 1

Apuesto Bueno 1 NFDP B 8

Bawah 13 Tahun

AMD Dream 0 Chonburi FC 0

Evergrande Football School 3 Hong Kong FA 1

AMD Future 0 KKS Lech Poznan 2

Zhejiang Professional FC 2 Fagiano Okayama 2

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 4:28 PM