FLICK (kiri) bersama Gundogan menjawab soalan pada sidang media menjelang perlawanan persahabatan dengan Jepun, hari ini. FOTO AFP
FLICK (kiri) bersama Gundogan menjawab soalan pada sidang media menjelang perlawanan persahabatan dengan Jepun, hari ini. FOTO AFP
AFP

Munich: Pemain tengah Barcelona, Ilkay Gundogan akan mengetuai skuad Jerman, umum pengurus, Hansi Flick, hari ini, sembilan bulan sebelum mereka menjadi tuan rumah Euro 2024.

Gundogan mengetuai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Eropah, Manchester City pada kempen 2022/23 sebelum menyertai La Liga.

Pemain berusia 32 tahun itu akan memakai lilitan lengan selaku kapten Jerman pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Jepun di Wolfsburg, esok.

Berikutan ketiadaan penjaga gol, Manuel Neuer, yang retak kaki kanan selepas kemalangan ketika bermain luncur ais pada awal Disember tahun lalu, Flick memilih Joshua Kimmich sebagai kapten ketika aksi persahabatan pada Mac dan Jun lalu.

"Ia memberi tenaga baharu yang kami boleh gunakan," jelas Flick mengenai kepimpinan berganda yang cuba diciptanya antara Gundogan dan Kimmich yang juga pemain tengah Bayern berusia 28 tahun.

"Saya gembira dengan undian keyakinan ini. Satu penghormatan buat saya mengetuai pasukan sangat muda ini," kata Gundogan.

Menurutnya, dia sedar tanggungjawab berat perlu dipikul apabila memimpin juara dunia empat kali dan juara Eropah tiga kali itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 9:14 PM