FAISAL ketika ditemuramah media pada majlis Perlancaran Pestabola Merdeka di Aeon Big Wangsa Maju, semalam. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
FAISAL ketika ditemuramah media pada majlis Perlancaran Pestabola Merdeka di Aeon Big Wangsa Maju, semalam. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang namun bersedia tampil lebih hebat pada perlawanan persahabatan menentang China dan Syria kelak.

Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey berkata, menerusi sokongan daripada keluarga serta barisan pemain Selangor FC, ia sudah pasti menjadi tonik terbaik baginya mengekalkan momentum supaya dapat beraksi lebih baik untuk skuad Harimau Malaya.

"Saya tidak boleh memberikan apa-apa jawapan kerana sudah lama tidak beraksi tetapi saya bersedia untuk membantu pasukan Malaysia dan berharap dapat kembali dengan lebih kuat.

"Apabila bertemu dengan pasukan yang kuat sudah pasti kita mahu memperbaiki kelemahan dalam diri.

"Saya harap dengan perlawanan seperti ini dapat meningkatkan lagi prestasi untuk membantu skuad kebangsaan dan sebagai persiapan ke Piala Asia," katanya.

Sebelum ini, Faisal yang juga pemain Selangor FC digantung beraksi selama sebulan dari 25 Julai hingga 23 Ogos lalu namun dibenarkan menjalani latihan selepas membuat rayuan.

Mengikut rekod, pertemuan menentang Syria ranking ke-80 dan 94 dunia itu di Chengdu, China pada 6 serta 9 September inu akan menjadi kayu pengukur sejauh mana kemampuan pemain negara menjelang Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Ketika ini, pemain kelahiran Pulau Pinang adalah antara tonggak tempatan paling cemerlang apabila meledak 10 gol dalam saingan Liga Super setakat ini.

Sebaik saja skuad Harimau Malaya bertemu China dan Syria,pasukan kebangsaan dijadualkan pula berdepan India dalam aksi pertama Pestabola Merdeka pada 13 Oktober ini.

Sekiranya berjaya meraih kemenangan, mereka akan menanti pemenang antara Lubnan dan Palestin sebagai lawan di pentas final yang diadakan pada 17 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 4:21 PM